'Isu perkauman hanya modal ahli politik, rakyat tiada masalah' - Farid

Rakyat Malaysia secara umumnya tidak pernah mempunyai isu dalam hal perpaduan, namun ia dijadikan bahan berpolitik sehingga menimbulkan isu. - Foto Bernama
Rakyat Malaysia secara umumnya tidak pernah mempunyai isu dalam hal perpaduan, namun ia dijadikan bahan berpolitik sehingga menimbulkan isu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli politik didakwa merupakan punca kepada timbulnya pelbagai isu berkaitan kaum dan agama di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Belia Malaysia, Farid Aidy berkata, rakyat Malaysia secara umumnya tidak pernah mempunyai isu dalam hal perpaduan kaum, namun ia dijadikan bahan sebilangan ahli politik untuk mengapi-apikan permusuhan atas kepentingan peribadi dan parti masing-masing.

"Dahulu sangat jarang kita dengar ada isu berkaitan kaum dan agama.

Saya sendiri datang dari sekolah yang 50 peratus Melayu, 40 peratus Cina dan bakinya India.

Tetapi kami tak ada masalah untuk berkawan baik.

"Kebelakangan ini, isu perkauman dari ahli politik sendiri sering dimainkan termasuk isu 3R.

Saya harap isu-isu ini tidak lagi diutarakan sebab kita sebenarnya tak ada isu pun.

"Kalau jumpa kawan berbangsa lain, kita orang Melayu tak pernah rasa tak kena, kita boleh berkawan baik dengan mereka," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi, pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Justeru beliau melihat inisiatif Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan dalam menyemai semangat perpaduan kaum dari peringkat sekolah sebagai usaha yang patut dipuji.

Bagi Exco SDG dan Antarabangsa Majlis Belia India Malaysia, Peshminder Pall Singh pula, beliau berpendapat kerajaan dan wakil rakyat seharusnya menumpukan terhadap usaha memperbanyakkan lagi kemudahan untuk rakyat semua golongan, selain memberi penjelasan tentang usaha yang sudah dilakukan dan boleh dinikmati rakyat.

"Kerajaan hari ini perlu memainkan peranan dalam meningkatkan lagi kerja-kerja penerangan.

Mereka harus menerangkan tentang inisiatif yang dilakukan kepada rakyat.

"Kalau dilihat dari segi mainstream, banyak peluang sedia ada tetapi tak ramai yang tahu.

Jadi yang saya harapkan kerja-kerja penerangan daripada kerajaan dipertingkatkan, yang ada sudah bagus tapi kalau dapat dipertingkatkan lagi bagus," katanya. - Awani