X

Kindly register in order to view this article
!

Larangan bukan perkara baharu

Gambar hiasan - Foto 123RF Gambar kecill: Muhammad Sha'ani
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan larangan merokok di kedai makan bagi melindungi semua pihak daripada terdedah kepada bahaya asap rokok di tempat awam bukanlah perkara baharu.

Penyelaras Kawalan Tembakau/ Inisiatif @SmokeFreeMY FOMCA, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, larangan merokok di restoran telah diperkenalkan menerusi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 yang melarang merokok di mana-mana tempat makan berhawa dingin selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai negara pihak ketiga kepada Konvensyen Rangka-Kerja Kawalan Tembakau (FCTC).

Menurutnya, tata amalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 mewajibkan majikan memastikan pekerja tidak terdedah kepada bahaya asap rokok di semua tempat kerja termasuk kedai makan dan restoran.

"Peraturan Kebersihan Makanan 2009 melarang semua pengendali (tukang masak, pramusaji dan lain-lain) makanan merokok di premis makan.

"Walaupun peraturan ini tertakluk ke atas semua pekerja pengendali makanan di premis, perlakuan merokok oleh pelanggan tetap menyumbang kepada pencemaran makanan di premis makan.

"Maka, sewajarnya semua pihak tidak melakukan sebarang perlakuan yang menimbulkan risiko kepada kebersihan makanan di premis makanan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Justeru, beliau berkata, pindaan 2018 kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 untuk melarang merokok di mana-mana tempat makan adalah langkah wajar memperluaskan tempat-tempat awam bebas asap rokok selaras dengan tuntutan di bawah FCTC dan peruntukan-peruntukan di bawah keselamatan pekerjaan serta kebersihan makanan.

Menurutnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 memutuskan tabiat merokok haram mengikut pandangan Islam.

"Sehubungan itu, semua premis makanan halal seharusnya tidak lagi boleh membenarkan perlakuan merokok oleh sesiapa sahaja," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!