Warga emas 67 tahun ditahan seludup lebih 50,000 liter diesel

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KULAI - Polis melakukan rampasan barangan bernilai hampir setengah juta ringgit dan menahan seorang lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat menjalankan aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan barangan kawalan bersubsidi, minyak diesel.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee, lelaki berusia 67 tahun itu ditahan sekitar 11.30 pagi hasil serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan di sebuah premis di Jalan Tee Yeck San, Saleng di sini pada Khamis.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan termasuk tiga buah lori dan beberapa tangki dengan muatan diesel melebihi 50,000 liter.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk diesel sebanyak RM425,251,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Jumaat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961. Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta yang sama yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Suspek dan rampasan akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan kos sara hidup (KPDN) untuk tindakan selanjutnya.

Pihak polis akan terus membanteras kegiatan penyeludupan sebegini dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Orang awam juga boleh terus menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di talian 07-6637222.

Artikel Berkaitan: