Tubuh jawatankuasa khas, 'perangi' orang tengah - CASSA

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Jacob George
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Jacob George
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani isu orang tengah yang cuba mengambil kesempatan dalam menentukan harga barangan di pasaran.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Selangor (CASSA), Datuk Seri Dr Jacob George berkata, isu manipulasi harga di pasaran tidak akan berakhir sekiranya ia tidak diselesaikan secara tuntas.

Justeru tegasnya, jawatankuasa khas ini perlu segera dibentuk bagi menyelesaikan perkara ini.

"Isu orang tengah mengambil kesempatan dalam menentukan harga di pasaran bukanlah isu yang baharu, kita telah melaluinya sejak 25 tahun yang lalu.

"Sudah sampai masanya untuk diselesaikan, jadi saya mengalu-alukan jika kita boleh menubuhkan satu jawatankuasa khas dan menerusinya dikeluarkan satu kertas putih, kita akhiri isu ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu menyarankan supaya isu berkaitan orang tengah segera diselesaikan.

Untuk itu, Mohammad meminta agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) perlu memainkan peranan kerana masalah rantaian bekalan adalah antara faktor penyumbang harga tinggi di pasaran, terutama di bandar.

Mengulas lanjut, Jacob berkata, jawatankuasa khas itu nanti perlu terdiri daripada pelbagai latar belakang yang pakar berhubung isu pengguna.

Artikel Berkaitan:

"Masukkan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi-agensi yang berkaitan dan lain-lain yang difikirkan sesuai (dalam jawatankuasa khas) itu," katanya.