JDT semakin popular di Korea Selatan

Aksi Arif Aiman ketika menentang Ulsan Hyundai dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto FB Johor Southern Tigers
Aksi Arif Aiman ketika menentang Ulsan Hyundai dalam perlawanan Liga Juara-Juara AFC di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

PASUKAN bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin popular di Korea Selatan selepas beberapa media negara tersebut melaporkan mengenai kebangkitan kelab itu di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kelab itu meraih populariti dalam kalangan peminat Liga 1 Korea (Liga K1) selepas kejayaan JDT menggegarkan pasukan gergasi negara tersebut, Ulsan Hyundai sebanyak tiga kali dalam saingan Liga Juara-Juara AFC pada 2022 dan 2023.

"Media Korea Naver Sports dan Goal.com KR memaparkan kebangkitan JDT di bawah pimpinan Tunku Ismail selepas kunjungan mereka ke Johor untuk Liga Juara-Juara AFC.

"Antara perkara yang ditampilkan termasuk bagaimana dana dibelanjakan dengan bijak dalam pelbagai sudut di JDT, kemudahan fasiliti serba canggih Harimau Selatan yang dijaga dengan baik.

"Selain itu, penubuhan Akademi JDT dengan kepakaran luar negara dan bagaimana 'hands-on' Tunku Mahkota Johor dalam pengurusan kelab," kongsi kelab itu dalam laman Facebook Johor Southern Tigers.

Selain perkara berkaitan pasukan, media Korea Selatan juga memuji impak komersial jenama besar yang berjaya dibawa masuk oleh JDT.

"Kelab bukan sahaja membawa jenama utama seperti Nike, IKEA, Unicef ​​dan Hublot sebagai rakan kongsi tetapi juga pembukaan kedai makanan dan minuman terkenal seperti Starbucks, KFC dan Subway di Stadium Terbaik Dunia Tahun 2020.

"Artikel tersebut turut menyatakan bahawa JDT semakin popular dalam kalangan peminat Liga K berikutan tiga daripada empat kemenangan menentang Ulsan Hyundai dalam Liga Juara-Juara AFC pada 2022 dan 2023," katanya.

Artikel Berkaitan: