Kontinjen MSDeaf lakar sensasi di Iran

Barisan atlet negara yang menyertai Kejohanan Olahraga Pekak Asia Pasifik di Tehran baru-baru ini.
Barisan atlet negara yang menyertai Kejohanan Olahraga Pekak Asia Pasifik di Tehran baru-baru ini.
A
A
A

ATLET istimewa, Zaiman Megat Abu melakar sensasi apabila meraih satu pingat emas dan satu perak pada Kejohanan Olahraga Pekak Asia Pasifik di Tehran, Iran baru-baru ini.

Zaiman mengungguli acara lompat kijang dengan jarak lompatan sejauh 14.32 meter (m), manakala perak dimenangi rakan senegaranya, Hazrul Shah Hamri yang merekodkan catatan 13.20m.

Atlet berusia 22 tahun kelahiran Perlis itu meraih perak acara lompat jauh dengan catatan 6.32m, manakala seorang lagi atlet negara, Azlan Kuste pula memenangi gangsa dalam acara 10,000m.

Pada kejohanan tersebut, kontinjen Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) itu diketuai oleh Ko Min Liang sebagai pengurus.

Barisan kejurulatihan pula diketuai Mohd Amiludin Mohd Amin dan dibantu Sanusi Zainal Abidin, manakala fisioterapi pasukan pula ialah Wan Muhammad Ihsan Wan Nawi.

Mohd Amiludin nyata gembira dengan pencapaian yang dilakar anak-anak buahnya itu menyifatkan segala kerja keras dan pengorbanan mereka berbalas.

“Mereka berusaha dengan gigih menjalani latihan untuk menyertai kejohanan ini.

"Alhamdulillah, syukur dengan kejayaan satu emas, dua perak dan satu gangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, ini merupakan pencapaian terbaik kontinjen Malaysia pada Kejohanan Olahraga Pekak Asia Pasifik.

“Kejayaan ini melonjak semangat para atlet dan menjadi tonik tambahan untuk mereka beraksi dengan lebih baik lagi tahun depan,” ujar Presiden MSDeaf, Ong Shin Ruenn.