PSM berani letak sasaran satu emas, satu perak

Sumali (tengah) menjawab soalan pemberita ketika sidang akhbar di Stadium Titiwangsa pada Isnin.
Sumali (tengah) menjawab soalan pemberita ketika sidang akhbar di Stadium Titiwangsa pada Isnin.
A
A
A

APA sahaja boleh berlaku kerana dalam sukan tak mustahil. Apabila sejarah (membuktikan) kita pernah kalahkan Thailand, maksudnya kita boleh kalahkan (Thailand).”

Itu nada positif yang dilontarkan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan ketika diajukan pertanyaan perihal sasaran skuad negara pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China.

Malah, beliau cukup optimis barisan pemain negara kendalian Ahmad Jais Baharun mampu menyambar pingat emas acara regu selain perak berpasukan pada temasya Sukan Asia kali ini.

“Sukan Asia lalu di Jakarta-Palembang (2018), kami dapat (pingat) emas. Takkan hari ini saya sasarkan regu kita untuk Sukan Asia kali ini (meraih) perak? Nanti orang cakap kenapa perak?

“Saya berkeyakinan sebab regu pertama negara dalam acara berpasukan pada Sukan SEA di Vietnam, kami kalahkan Thailand, maknanya peluang itu masih ada.

“Jadi, saya kira tak mustahil kami dapat pingat emas. Tak cantik, tak eloklah kalau saya kata sekarang saya sasarkan perak,” katanya semasa sidang akhbar di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Isnin.

Pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, kontinjen Malaysia mengambil langkah selamat dengan tidak mengumumkan sasaran secara spesifik mengikut warna bagi mengelakkan tekanan kepada barisan atlet negara.

Sebaliknya, pendekatan baharu diambil dengan hanya mengumumkan sasaran 27 pingat tanpa menamakan sasaran emas bagi edisi kali ini yang bakal berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

“Atlet tertekan bukan kerana sasaran. Masuk gelanggang bertemu Thailand sahaja sudah tertekan dan ini lumrah sejak dahulu lagi. Masalah tekanan tak timbul, sama ada pada Sukan Asia mahupun Sukan SEA.

“Kadangkala bukan jumpa Thailand, jumpa Indonesia juga tertekan kerana pemain rasa boleh menang dan ia bukanlah satu tekanan tinggi jika pemain boleh mempamerkan prestasi yang baik,” jelas Sumali.

Bagi merealisasikan misi di Hangzhou, skuad negara bakal diketuai Muhammad Syahir Rosdi selain tiga lagi tekong iaitu Zarif Marican Ibrahim Marican, Muhammad Hairul Hazizi Hadzir dan Haziq Hairul Nizam.

Apit kanan dibarisi oleh Azlan Alias, Khairol Zaman Hamir Akhbar, Afifuddin Razali dan Noraizat Nordin, manakala apit kiri, Amirul Zazwan Amir, Farhan Adam, Aidil Aiman Azwawi serta Muhammad Zaim Razali.