Buat ujian saringan kepada pelancong China

Gambar hiasan - Foto fail Bernama (Gambar kecil: Sharifa Ezat)
Gambar hiasan - Foto fail Bernama (Gambar kecil: Sharifa Ezat)
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan ujian saringan Covid-19 dan influenza ke atas pelancong dari China sebelum memasuki Malaysia perlu dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ia susulan terdapat laporan mengenai peningkatan penyakit berkaitan pernafasan dan radang paru-paru melibatkan kanak-kanak di negara berkenaan.

“Meskipun sekarang ini kita tidak tahu keputusan ujian makmal mengenai penyakit berkaitan pernafasan di China itu tapi lebih baik kita mengambil langkah pencegahan awal dengan membuat ujian saringan terutamanya bagi mereka yang mempunyai simptom.

“Tidak salah untuk kita mengenakan syarat sedemikian kerana keutamaan kerajaan ialah untuk menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan terhadap peningkatan kes Covid-19 dan influenza di negara ini dan syor kepada kerajaan susulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India yang memasuki Malaysia bermula Jumaat ini.

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, Sharifa Ezat turut mencadangkan supaya rakyat Malaysia khususnya golongan yang berisiko memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam atau kawasan sesak.

Menurutnya, meskipun dijangka tidak berlaku jangkitan Covid-19 yang luar biasa, namun warga emas, kanak-kanak dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik tetap mempunyai risiko tersendiri.

Artikel Berkaitan:

“Kalau berdasarkan laporan, kes Covid-19 yang dicatatkan ketika ini tidak membimbangkan dan hanya melibatkan simptom biasa,” ujarnya.

Katanya, orang ramai juga disaran untuk sentiasa membuat ujian saringan Covid-19 dan influenza secara kerap memandangkan banyak kes dilaporkan berlaku ketika ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini memaklumkan sebanyak 2,305 kes Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-46 (ME 46/2023) iaitu dari 12 hingga 18 November lalu.

Menerusi satu kenyataan, KKM berkata, peratusan kes Covid-19 dilaporkan pada minggu tersebut meningkat 28 peratus, berbanding 1,801 kes pada ME 45/2023 atau dari 5 hingga 11 November lalu.