73.3 peratus pekerja formal terima gaji kurang RM5,000 - Rafizi

Rafizi ketika Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Rafizi ketika Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 73.3 peratus daripada 6.5 juta pekerja formal menerima gaji kurang daripada RM5,000 sebulan berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja Untuk Sektor Formal pada suku pertama tahun ini.

Membentangkan Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, hampir 56 peratus pekerja turut menerima upah di bawah gaji kehidupan wajar iaitu RM3,047 sebulan, seperti yang disyor oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Manakala, 47 peratus menerima gaji di bawah pendapatan garis kemiskinan iaitu RM2,589 sebulan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan 2022.

"Di samping itu lebih lebih 10 peratus pekerja formal menerima gaji di bawah kadar gaji minimum iaitu RM1,500 sebulan.

"Laporan gaji dan upah bagi 2020 pula menunjukkan trend pertumbuhan gaji keseluruhan pekerja di Malaysia kurang memberangsangkan dengan kadar pertumbuhan purata gaji penengah bulanan dari tahun 2021 ke 2022, hanya mencatatkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus.

"Berdasarkan Laporan Statistik Siswazah 20222, gaji penengah graduan yang baru memasuki pasaran kerja telah berkurang daripada RM2,066 sebulan pada 2019 kepada RM1,624 sahaja sebulan pada 2022," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Jelas Rafizi lagi, gaji yang rendah memberi kesan kepada pekerja dengan sebahagian besar gaji digunakan untuk menampung kegunaan asas dan tidak berpeluang membuat simpanan.

Laporan Bank Dunia, kata beliau menunjukkan Malaysia antara negara yang mempunyai simpanan isi rumah yang rendah di dunia, dengan hampir separuh pekerja di Malaysia tidak mempunyai daya tahan kewangan terutama pekerja dalam kalangan belia. - Awani

Artikel Berkaitan: