Guru ditahan buat hantaran berbaur ugutan terhadap PM

Fisol (tiga dari kiri) menunjukkan salinan hantaran yang dibuat oleh suspek ketika sidang media di IPD Kubang Pasu pada Jumaat - Gambar/ Astro AWANI
Fisol (tiga dari kiri) menunjukkan salinan hantaran yang dibuat oleh suspek ketika sidang media di IPD Kubang Pasu pada Jumaat - Gambar/ Astro AWANI
A
A
A
JITRA - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung hantaran di media sosial yang mengandungi kenyataan berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan kira-kira jam 10 malam Khamis di rumahnya di Kulim, susulan lima laporan polis dibuat terhadapnya di seluruh negeri ini semalam.

"Kita ambil tindakan daripada laporan pertama yang kita terima semalam pada jam 5.33 petang di Balai Polis Kampung Tanjung di Padang Terap.



"Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim dan Padang Terap," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, selain di Padang Terap, pihaknya turut menerima laporan berkaitan hantaran itu di daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Kulim.

Fisol berkata, pihaknya memohon perintah reman empat hari bermula hari ini terhadap suspek yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Kulim.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam setiap hantaran di media sosial dan tidak membuat hantaran yang boleh menjadi kesalahan seperti mengandungi ugutan jenayah. - Bernama