Penduduk 3 apartmen derita tiada air akibat kecurian di rumah pam

Kecurian yang berlaku di rumah pam yang membekalkan air untuk kegunaan tiga apartmen di Bukit Beruntung.
Kecurian yang berlaku di rumah pam yang membekalkan air untuk kegunaan tiga apartmen di Bukit Beruntung.
A
A
A

HULU SELANGOR - Kira-kira 300 penduduk di tiga apartmen di Bukit Beruntung mengalami gangguan bekalan air berikutan kes kecurian peralatan di rumah pam pada Isnin.

Kecurian di rumah pam itu melibatkan Apartmen Seri Trompet, Apartmen Seri Seroja dan Apartmen Seri Tanjung itu hingga menjejaskan bekalan air.

Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun berkata, pihaknya telah menghantar pegawai untuk mendengar sendiri permasalahan dihadapi penduduk di tiga apartmen itu.

"Kes seperti ini jarang berlaku dan ini mungkin kali pertama melibatkan rumah pam yang membekalkan air di tiga apartmen sekali gus," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mohd Hasnizan memberitahu, pegawai beliau juga telah berhubung dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan pihak pemaju.

Pemaju sedang berusaha menyelesaikan masalah itu segera bagi memulihkan semula bekalan air di tiga apartmen terlibat.
Pemaju sedang berusaha menyelesaikan masalah itu segera bagi memulihkan semula bekalan air di tiga apartmen terlibat.

Beliau memberitahu, pada mulanya beliau beranggapan rumah pam itu di bawah pengurusan sepenuhnya JMB, tetapi semakan mendapati ia di bawah tanggungjawab pemaju.

"Kebiasaannya bekalan air di rumah apartmen di bawah seliaan JMB, tetapi ini kes berbeza kerana ia diletakkan di luar (kawasan pangsapuri) dan memang ikut logik akal, ia berisiko untuk dipecah masuk," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, pihak pemaju sedang berusaha menyelesaikan masalah itu segera bagi memulihkan semula bekalan air di tiga apartmen terlibat.

Bagaimanapun, katanya, pemaju masih berusaha mendapatkan peralatan diperlukan selain kos penggantiannya yang tinggi.

"Kami dimaklumkan, ketiga-tiga JMB telah mengambil tindakan segera dengan menghubungi Air Selangor untuk meletakkan tangki air sementara untuk kegunaan penduduk di apartmen masing-masing," tambah beliau.

Terdahulu, Mohd Hasnizan di dalam Facebook beliau memaklumkan, terdapat aduan daripada penduduk mengenai gangguan bekalan air di tiga apartmen terbabit.

Gangguan bekalan air itu berpunca akibat daripada aktiviti pihak tidak bertanggungjawab mencuri peralatan di rumah pam berhampiran apartmen berkenaan.