Kedah berhasrat jadi negeri pengeluar benih padi

Dzowahir ketika sesi penggulungan di DUN Kedah pada Rabu.
Dzowahir ketika sesi penggulungan di DUN Kedah pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah berhasrat menjadi negeri pengeluar benih padi sebagai usaha mengatasi masalah kekurangan atau kelewatan benih padi yang sering membelenggu pesawah.

Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, inisiatif menghasilkan benih padi sendiri adalah bagi memastikan bekalan benih padi sentiasa mencukupi.

Menurutnya, perbincangan telah dilakukan dan usaha-usaha sedang dibuat untuk mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai dijadikan lokasi penanaman bagi pengeluaran benih.

“Ada tuduhan mengatakan pesawah sengaja guna benih padi berlebihan atau membazir, dakwaan ini tidak benar kerana saya sendiri dengar keluhan pesawah adalah kesukaran mendapatkan benih.

“Sebab itu kita bercadang hasilkan benih padi sendiri supaya dapat menjamin bekalan kepada pesawah terutamanya di Kedah,” katanya ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Rabu.

Dzowahir berkata, kerajaan negeri sedang merencana program-program penghasilan benih padi atau input pertanian secara dalaman bagi mengelak manipulasi pihak-pihak tertentu.

“Kedah merupakan negeri pengeluar padi utama negara tetapi kita mengharapkan bekalan benih daripada pihak lain. Tak masuk akal.

“Sebab itu kita cari pendekatan atau kaedah bagaimana untuk Kedah menjadi pengeluar benih utama pada masa akan datang,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, usaha mengenal pasti kawasan tersebut sedang dilakukan bersama jabatan-jabatan tertentu dengan pengezonan kawasan kepada tiga zon, iaitu utara, tengah dan selatan.

“Sebolehnya kita tak mahu lagi bergantung dekat orang sebab benih ini penting. Kalau benih tak ada, nak tanam apa?

“Daripada perbincangan bersama pesawah di beberapa kawasan secara dasarnya mereka bersetuju dengan cadangan itu, tetapi mestilah mengikut syarat dan peraturan ditetapkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Antara syarat, kita boleh buat benih tetapi tak boleh jual, kita boleh guna untuk diri sendiri,” jelasnya lagi.

Berdasarkan data keperluan benih padi untuk tanaman padi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) fasa satu dan fasa dua 2023 ialah 437, 780 beg atau 8,755.6 tan metrik. Kawasan luar MADA sebanyak 182,000 beg atau 3,640 tan metrik tan.

Mengulas mengenai projek SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB), Dzowahir berkata, selain Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), beberapa syarikat turut berminat untuk menyertai program tersebut.

“Ada beberapa syarikat berjumpa saya untuk sertai program ini dalam usaha kita menjadikan kawasan tanaman berskala kecil sebagai mini estet. Kajian mendapati pengurusan lebih besar memberi pulangan lebih baik,” jelasnya.

Menurutnya lagi, sebarang permasalahan berkaitan ketidakpatuhan harga wajar diketengahkan dan aduan boleh dilakukan kepada Bahagian Kawalselia Padi dan Beras.

“Tindakan pembatalan lesen telah dilakukan kepada peruncit yang gagal mematuhi harga ditetapkan. Sehingga kini, 15 peruncit telah dibatalkan lesen oleh Bahagian Kawalselia Padi dan Beras,” katanya.

Jelas Dzowahir lagi, pembangunan tanah terbiar sama ada milik agensi atau perseorangan juga akan diteliti sebaiknya.

“Jabatan Pertanian Negeri Kedah dengan kerjasama pentadbiran negeri dalam proses mengenal pasti tanah-tanah terbiar dan berpotensi bagi pertanian.

“Masih terdapat pemilik tanah gagal dikesan menyebabkan satu gerak kerja direncana bagi menyediakan medium pemudah cara selain menggalakkan penglibatan individu atau syarikat atau konsesi peneraju mengurus tanah terbiar atau yang tidak ekonomik melalui model ‘public private partnership’,” jelasnya.

Dzowahir berkata, penyatuan tanah kecil atau terbiar boleh dilaksanakan secara estet atau ladang dan ia memberi pulangan setimpal dalam memacu ekonomi negeri.

“Kolaborasi dan sinergi antara agensi awam, swasta dan masyarakat adalah perlu bagi memaksimumkan keberhasilan dan kejayaan projek ini,” tegasnya.