Dua warga emas maut nahas tiga kenderaan

Kereta dinaiki kedua-dua warga emas remuk dalam nahas di Sitiawan pagi Jumaat. - Foto ihsan Bomba Perak
Kereta dinaiki kedua-dua warga emas remuk dalam nahas di Sitiawan pagi Jumaat. - Foto ihsan Bomba Perak
A
A
A

LUMUT - Dua warga emas maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Taman Nesa, Sitiawan di sini pada Jumaat.

Mangsa dikenali Yeong Tua Kong, 79, dan Yong Mooi Mooi, 68, yang menaiki kereta jenis Proton Persona disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, laporan awal kemalangan membabitkan kereta Proton Persona, Proton Saga dan sebuah bas ekspres diterima pada jam 6.15 pagi.

"Terdapat dua mangsa di dalam Proton Persona tersepit dan disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan.

"Anggota bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat," katanya.

Menurut beliau, kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Lelaki yang memandu kereta Proton Saga berusia 31 tahun dan bas yang membawa 12 penumpang selamat dalam kejadian itu.

"Operasi ditamatkan pada jam 7.33 pagi," katanya.