AMK Pahang lapor polis terhadap Che’gubard

Chun Kuang (tiga dari kiri) menunjukkan laporan polis terhadap Che'gubard dibuat di IPD Kuantan pada Selasa.
Chun Kuang (tiga dari kiri) menunjukkan laporan polis terhadap Che'gubard dibuat di IPD Kuantan pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang membuat satu laporan polis terhadap Badrul Hisham Shaharin kerana memfitnah dan menuduh bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dajal.

Ketua AMK Pahang, Chan Chun Kuang berkata, laporan itu dibuat selepas menonton satu rakaman video Badrul Hisham atau Che’gubard di laman sosial ketika berceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada Ahad lalu.

Menurutnya, kenyataan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu perlu disiasat dan diambil tindakan pihak polis.

"Hasutan, fitnah dan tuduhan tersebut (dilihat) cuba meraihkan sokongan pengundi adalah sempit serta menjejaskan kestabilan negara.

"Cubaan beliau (Che'gubard) untuk menghasut hadirin yang hadir dan mereka yang menonton live (secara langsung) video tersebut untuk membenci DS (Datuk Seri) Anwar Ibrahim adalah salah, tidak berasas," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Selasa.

Laporan polis dibuat di IPD Kuantan kira-kira jam 4 petang.

Chun Kuang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu menegaskan, sebagai rakyat Malaysia pentingnya menjaga tatasusila dan adab.

"Beliau tidak sepatutnya bercakap sedemikian, menafsirkan ayat suci sewenangnya demi kepentingan politik sempit.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengharapkan tindakan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Che'gubard untuk kestabilan dan perpaduan negara," katanya.