Gangguan seksual, satu laporan polis dibuat terhadap bekas menteri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan daripada seorang wanita berhubung gangguan seksual melibatkan bekas menteri.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, laporan tersebut dibuat pada 24 Julai lalu jam 2.17 petang di Balai Sri Hartamas, dekat sini.

Namun begitu kata beliau, laporan polis tersebut ditarik balik oleh pengadu pada hari yang sama.

"Sehubungan itu, polis telah membuka kertas inkuiri berhubung kes ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Ditanya mengenai tindakan pengadu menarik balik laporan dibuat, beliau berkata, tindakan tersebut adalah kehendak pengadu itu sendiri.

Terdahulu, terdapat penyebaran laporan polis ke atas bekas menteri yang didakwa melakukan gangguan seksual dengan mengucapkan perkataan yang tidak sopan kepada seorang wanita di laman media sosial.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah pejabat beralamat P-3-2 Plaza Damas, dekat sini.

Sinar Harian dimaklumkan bekas menteri tersebut juga telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut pada Khamis.

Bekas menteri itu menyatakan perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Peja lapor polis dituduh buat gangguan seksual