PRK Kemaman: Ingat semula sejarah Felda - Ahmad Said

Ahmad Said
Ahmad Said
A
A
A

CHUKAI - Kehidupan selesa peneroka Felda bukan datang bergolek, tetapi hasil cetusan ilham pemimpin UMNO terdahulu yang berusaha memikirkan jalan bagi memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat Malaysia di bawah objektif pembasmian kemiskinan.

Sejak ditubuhkan pada 1956, Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, penduduk Felda yang dahulunya diberi sekeping tanah setiap seorang untuk diteroka dan diusahakan, bukan sahaja mengubah hidup mereka lebih selesa, tetapi kini dapat hidup mewah.

"Ingatkah lagi ketika kerajaan membuka Felda? Keadaan kita hutan ketika itu. Sekarang ini hidup peneroka sudah selesa dengan kemudahan dan kelengkapan yang ada. Cuma apabila ada satu dua isu, mereka lupa kepada UMNO.

"Hari ini anak-anak mereka sudah berjaya. Rumah-rumah banglo, kebanyakannya dengan tanah sepuluh ekar,” kata bekas Menteri Besar Terengganu itu yang merayu peneroka Felda agar kembali memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini.

Beliau ditemui ketika mengiringi calon BN bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menziarahi Felda Neram 1 di sini pada Ahad.

Neram 1 merupakan antara enam tanah rancangan Felda di Kemaman dan kini terdapat sebanyak 112,635 peneroka di 317 tanah rancangan Felda seluruh negara.

Ahmad berkata, calon yang diketengahkan BN pada PRK ini adalah individu terbaik dan menjadi harapan untuk diangkat sebagai ‘jambatan’ penghubung antara Terengganu dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Sementara itu, Raja Mohamed Affandi yang berdepan calon Pas iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata beliau terharu dengan penerimaan peneroka Felda terhadapnya.

Artikel Berkaitan:

"Saya rasa jentera telah bekerja keras. Hasil daripada kerja keras jentera maka terhasil sambutan sebegini.

"Kita lihat ada perubahan di mana orang yang dahulu (sokongannya) menjadi tanda tanya kepada kita, tapi sekarang bersama dengan kita. Itu adalah satu nikmat yang mungkin akan menjadi kelebihan kepada kita,” katanya. - Bernama