AMD, MUFT, MSNT-SIF-TFC, MSA mara pentas empat terbaik

AMD, MUFT, MSNT-SIF-TFC, MSA mara separuh akhir

AMD dan MSNT-SIF-TFC dari Kumpulan A mara ke separuh akhir Piala Pra U 2023. - Foto Sukan IPT
AMD dan MSNT-SIF-TFC dari Kumpulan A mara ke separuh akhir Piala Pra U 2023. - Foto Sukan IPT
A
A
A

PENYANDANG juara Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan naib juara Malaysia University Football Team (MUFT) meneruskan momentum positif kejuaraan Piala Pra U 2023 apabila mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan status juara kumpulan.

Kedua-dua pasukan akan dicabar Akademi Majlis Sukan Negeri Terengganu-TFC (MSNT-SIF-TFC) dan Mutiara Soccer Allstar (MSA) yang turut mengesahkan slot separuh akhir dengan status naib juara kumpulan masing-masing.

AMD mara selepas muncul juara Kumpulan A dengan mengumpul sembilan mata apabila menang semua perlawanan peringkat kumpulan yang berakhir Isnin.

AMD yang merupakan juara dua edisi berturut-turut sebelum ini menyingkap kempen dengan kemenangan 3-1 ke atas MSNT-SIF-TFC dalam perlawanan pertama.

MUFT dan MSA dari Kumpulan B mara ke separuh akhir Piala Pra U 2023. - Foto Sukan IPT
MUFT dan MSA dari Kumpulan B mara ke separuh akhir Piala Pra U 2023. - Foto Sukan IPT

AMD kemudiannya melebarkan rentak kemenangan dengan membelasah Akademi Penang Panther (APP), 3-0 dalam perlawanan kedua sebelum melabuh kempen kumpulan membelasah Akademi Bolasepak Felda (ABF), 8-0.

MUFT pula menyingkap kempen Kumpulan B dengan bergelut mengatasi MSA, 3-2, kemudian menang lebih garang 4-1 ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) Bawah 15 (B15), sebelum menutup tirai kumpulan, 3-1 ke atas Akademi Bolasepak Sime Darby.

MSNT-SIF-TFC pula selepas tewas 1-3 kepada AMD, kembali garang membaham Akademi Bolasepak Felda, 4-0 sebelum mengatasi Akademi Penang Panther, 3-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, MSA selepas tunduk 2-3 kepada MUFT, kembali bangkit mengatasi ABF, 4-2 sebelum mengakhiri cabaran skuad muda bawah 15 tahun (B-15), JDT, 3-1 pada Isnin.

Sebagai rekod kejuaraan edisi ketiga melibatkan penyertaan lapan pasukan akademi iaitu MUFT, AMD, ABF, APP, JDT B-15, Akademi Bolasepak Sime Darby, MSNT-SIF-TFC dan MSA.

AMD merupakan juara dua tahun berturut-turut kejuaraan Piala Pra U anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).