Ada juga kahwin kerana nak menunjuk

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

SETIAP pasangan yang melayari bahtera perkahwinan sememangnya mengimpikan ikatan yang dibina kekal buat selamanya.

Namun jika badai melanda di tengah perkahwinan, siapalah kita untuk menidakkan takdir ALLAH SWT.

Kita hanya mampu merancang namun Tuhan yang menentukan segalanya.

Tidak kira berapa pun usia perkahwinan pasangan itu, perceraian juga boleh berlaku dalam kalangan semua peringkat usia.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian pada Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan kadar perceraian di negara ini menunjukkan peningkatan ketara iaitu daripada 43,936 kes pada tahun 2021 kepada 62,890 kes pada tahun 2022.

Ia merupakan peningkatan sehingga 43.1 peratus dan kadar tertinggi yang direkodkan sejak tahun 2016.

Mengikut statistik tersebut, perceraian pasangan Islam meningkat 45.8 peratus pada tahun lepas iaitu 46,138 kes berbanding tahun 2021 sebanyak 31,650 kes, manakala perceraian bukan Islam juga meningkat 36.4 peratus daripada 12,286 kes kepada 16,752 kes bagi tempoh sama.

Namun apa yang lebih membimbangkan, kadar perceraian tertinggi berlaku dalam kalangan pasangan yang masih muda iaitu di bawah usia 39 tahun.

Artikel Berkaitan:

Sikap yang belum matang atau belum bersedia sepenuhnya mungkin menjadi faktor banyak pasangan muda mengambil jalan pintas untuk mengakhiri perkahwinan tanpa berfikir panjang.

Sebenarnya banyak punca yang mendorong kepada berlakunya konflik di dalam rumah tangga, salah satunya adalah media sosial.

Pakar Psikologi dan Dekan dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mariani Mohd Nor berkata, aplikasi seperti WhatsApp menjadi platform untuk pasangan muda meluahkan perasaan marah apabila berhadapan konflik rumah tangga.

Beliau memaklumkan, komunikasi melalui medium mesej dalam WhatsApp ketika marah misalnya boleh menimbulkan intonasi suara dan hasrat berbeza yang boleh mendatangkan perspektif negatif si penerima yang berlawanan dengan niat sebenar si penghantar mesej.

Itu juga boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan pasangan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Nurfarizan Jaafar dalam satu forum berkongsi pandangannya memaklumkan, terdapat segelintir individu hanya berkahwin semata-mata ingin menunjuk dirinya mampu berkahwin seperti pasangan lain.

Sebagai contoh ada individu yang belum berkahwin melihat rakan, artis kegemaran atau saudara mara membuat hantaran gambar perkahwinan mereka di media sosial sehingga membuatkan dirinya rasa tercabar.

Lantas mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga hanya untuk merasai pengalaman tanpa berfikir sudah bersedia sepenuhnya.

Dalam perkahwinan, setiap pasangan bukan sahaja perlu bersedia dari segi mental dan fizikal malah kewangan juga perlu stabil.

Diakui duit bukan segala-galanya namun hidup pada zaman yang serba mencabar ini, segala-galanya memerlukan duit.

Kesempitan hidup juga boleh mengundang berlakunya keretakan rumah tangga.

Seperti hasil dapatan survei yang dijalankan Sinar Online menerusi aplikasi X pada Jumaat lalu menunjukkan, sebanyak 50.5 peratus responden memilih masalah kewangan sebagai punca utama perceraian.

Diikuti tiada persefahaman (26.6 peratus), orang ketiga (16.9 peratus) manakala mentua campur tangan (enam peratus).

Memetik portal Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan melaporkan, perceraian adalah jalan terakhir jika semua usaha memulihkan perkahwinan gagal.

Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis bersabda: “Tidak ada perkara halal yang dibenci oleh ALLAH selain daripada talak.

Dan: “Mana-mana wanita yang meminta talak daripada suaminya tanpa sebab yang sepatutnya, maka haram ke atasnya bau syurga.”

Daripada hadis di atas jelas bahawa perceraian adalah diharuskan namun ia adalah perkara yang paling dibenci ALLAH SWT.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Penyunting Sinar Harian