PRK: Polis beri amaran jika berkempen selepas 12 tengah malam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis memberi amaran keras kepada calon parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram serta penyokong mereka agar menghentikan segala aktiviti berkempen sebelum 12 tengah malam ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan akan diambil mengikut Seksyen 24B Akta Pilihan Raya sekiranya terdapat mana-mana pihak yang melakukan kesalahan itu.

"Pasukan khas sedang giat memantau pada malam terakhir kempen yang akan berakhir pada 11.59 malam ini.

"Saya memberi amaran jangan langgar peraturan sekiranya tidak mahu diambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas pada malam terakhir kempen di Pusat Latihan Pasukan Polis Marin di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor Deputi Komisioner M. Kumar.

Kamarul Zaman juga berkata, sebanyak 520 permohonan bagi permit kempen telah diterima oleh pihaknya sepanjang tempoh berkempen yang bermula pada 26 Ogos lepas.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sejumlah 16 permohonan ditolak antaranya kerana kempen diadakan di luar kawasan PRK dan lokasi yang tidak dibenarkan seperti masjid.

Katanya lima individu turut ditahan sepanjang tempoh itu, yang terdiri daripada empat remaja lelaki berusia 14 hingga 19 tahun dan seorang lelaki berusia 62 tahun, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat seperti merosakkan bendera parti.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Zaman berkata, bagaimanapun, mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.

PRK bagi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari mengundi di kedua-dua kawasan. - Bernama