41 warga Thailand terkandas di Myanmar selamat pulang

Kementerian Luar Thailand mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Myanmar dalam operasi menyelamatkan kumpulan 41 warga Thailand yang terkandas di bandar Laukkaing. - Foto Royal Thai Army
Kementerian Luar Thailand mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Myanmar dalam operasi menyelamatkan kumpulan 41 warga Thailand yang terkandas di bandar Laukkaing. - Foto Royal Thai Army
A
A
A

BANGKOK - Sekumpulan 41 warga Thailand yang terkandas di bandar Laukkaing di Myanmar berikutan pertempuran sengit antara junta Myanmar dan kumpulan bersenjata etnik, selamat pulang pada Sabtu.

Kementerian Luar Thailand dalam satu kenyataan berkata, 41 warga Thailand itu menyeberangi sempadan Thai-Myanmar dari Tachileik ke Daerah Mae Sai, Wilayah Chiang Rai pada sebelah pagi.

"Mereka menyertai proses saringan bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan manusia dan mereka yang mempunyai rekod jenayah.

"Kerajaan sedang berusaha untuk memindahkan satu lagi kumpulan terdiri daripada lebih 200 warga Thailand di Laukkaing,” katanya.

Kementerian Luar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Myanmar, agensi berkaitan dan organisasi swasta atas sokongan dan bantuan mereka dalam operasi ini, yang berakhir dengan kepulangan kumpulan 41 warga Thailand ini dengan selamat.

Media tempatan melaporkan bahawa tiga daripada 41 individu itu mempunyai waran tangkap di Thailand dengan pihak berkuasa akan menyoal siasat dan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: