Polis Selangor guna dron pantau jenayah lokasi tumpuan


Hussein bertemu masyarakat sekitar dalam tinjauan cegah jenayah ketika Program Konvoi Motosikal Polis Selangor 2023 di Jalan Tengku Kelana pada Ahad.
Hussein bertemu masyarakat sekitar dalam tinjauan cegah jenayah ketika Program Konvoi Motosikal Polis Selangor 2023 di Jalan Tengku Kelana pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Polis Selangor memperluaskan penggunaan dron bagi memantau keselamatan melibatkan kawasan tumpuan di negeri ini bagi mencegah sebarang kegiatan jenayah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, inisiatif itu dimulakan melibatkan kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Klang di kawasan Little India Jalan Tengku Kelana dekat sini.

"Dron yang digunakan ini merupakan hasil kerjasama komuniti setempat sebagai usaha mengurangkan risiko berlakunya jenayah selain pemantauan keselamatan.

"Ia juga merupakan hasil inisiatif Ketua Polis Daerah Klang Selatan sendiri bersama komuniti setempat dalam memastikan suasana harmoni dan aman sekitar kawasan berhampiran IPD berkenaan," katanya kepada pemberita ketika Program Konvoi Motosikal Polis Selangor 2023 di Jalan Tengku Kelana dekat sini pada Ahad.


Hussein mengetuai konvoi bermotosikal Polis Selangor 2023 yang disertai lebih 50 peserta.
Hussein mengetuai konvoi bermotosikal Polis Selangor 2023 yang disertai lebih 50 peserta.

Beliau berkata, dron ini bertindak sebagai pemantau melibatkan skop yang lebih meluas.

"Dron ini juga dapat mengambil gambar dan merakam video melibatkan sebarang insiden yang berlaku dalam kawasan yang berada dalam radar pemantauan.

"Sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan atau jenayah, maka anggota polis akan digerakkan terus ke lokasi terbabit dan ini menjadikan tindakan yang diambil lebih pantas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hussein berkata, selain itu penggunaan dron ini turut diaktifkan ketika melibatkan sebarang aktiviti keramaian terutamanya sambutan perayaan.

"Sambutan Deepavali baru-baru ini, penggunaan dron ini dilihat berkesan apabila mencatatkan kadar sifar jenayah setelah pemantauan dijalankan sejak dua bulan lalu.


Hussein bertanya khabar orang ramai dalam tinjauan cegah jenayah ketika Program Konvoi Motosikal Polis Selangor 2023 di Jalan Tengku Kelana dekat sini pada Ahad.
Hussein bertanya khabar orang ramai dalam tinjauan cegah jenayah ketika Program Konvoi Motosikal Polis Selangor 2023 di Jalan Tengku Kelana dekat sini pada Ahad.

"Penggunaan dron ini akan diperluaskan di beberapa kawasan lain dan setakat ini ia akan melibatkan IPD Petaling Jaya," katanya.

Hussein menerusi program cegah jenayah pasca Deepavali itu turut mengetuai konvoi bermotosikal Polis Selangor 2023 yang disertai lebih 50 peserta.

Aktiviti turut diisi dengan tinjauan cegah jenayah di kawasan berhampiran selain beramah mesra dengan komuniti setempat.