Pendapatan suku ketiga Takaful Malaysia meningkat 27 peratus

Nor Azman
Nor Azman
A
A
A

TAKAFUL Malaysia mencatatkan pendapatan takaful sebanyak RM639.5 juta meningkat 27 peratus bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 berbanding RM501.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Azman Zainal berkata, bagi keuntungan selepas zakat dan cukai RM91.1 juta juga meningkat 25 peratus daripada RM72.9 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama.

“Prestasi perniagaan kami untuk tiga suku pertama tahun ini berkembang pada arah aliran positif dan terus mengukuhkan pertumbuhan perniagaan secara keseluruhan.

“Peningkatan pendapatan takaful Kumpulan bagi suku dalam tinjauan adalah disebabkan oleh pendapatan takaful yang lebih tinggi diperolehi untuk perkhidmatan takaful disediakan untuk perniagaan takaful keluarga dan takaful am.

“Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai sebanyak RM130.9 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, lebih tinggi sebanyak 10 peratus berbanding RM118.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disumbangkan oleh pendapatan keuntungan lebih tinggi daripada pelaburan pendapatan tetap,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nor Azman, dana takaful turut mencatatkan pendapatan takaful sebanyak RM523.5 juta untuk suku ketiga dalam tinjauan, meningkat sebanyak 17 peratus berbanding RM448.5 juta pada tempoh sama tahun lepas, terutama disebabkan oleh pendapatan takaful lebih tinggi diperoleh untuk perkhidmatan takaful yang disediakan.

“Dana takaful am kami mencatatkan peningkatan 27 peratus dalam pendapatan takaful untuk merekodkan RM332.7 juta bagi suku yang dikaji berbanding RM262.3 juta, dilaporkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pendapatan takaful yang lebih tinggi adalah disebabkan oleh pendapatan caruman yang lebih tinggi daripada kelas perniagaan kebakaran dan motor," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kumpulan optimis untuk meluaskan pasaran saham dan melaksanakan perjalanan berprestasi tinggi ini untuk mencapai hasil dan keuntungan mampan.

“Kami menjangkakan perniagaan bancatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan takaful am untuk terus berdaya saing dan menjana pertumbuhan perniagaan.

“Kejayaan di dalam perniagaan bancatakaful dengan kedudukan kukuh ini adalah atas dasar kepercayaan rakan kongsi bank terhadap keupayaan kami untuk memenuhi dan melangkaui jangkaan harga, perkhidmatan dan kepakaran mereka,” katanya.

Tambahnya, bekerjasama dengan 16 buah bank juga membuktikan kejayaan Takaful Malaysia dalam memberikan nilai perkongsian untuk pengembangkan perniagaan.

“Dengan pelan pengembangan strategik rakan kongsi bank dan komitmen untuk mengembangkan pasaran runcit, kami melihat potensi perniagaan yang lebih besar dalam penasihat perniagaan takaful keluarga.

“Matlamat kita adalah untuk mengukuhkan kedudukan di pasaran runcit dengan menyediakan rakyat Malaysia akses lebih meluas kepada penyelesaian perlindungan yang komprehensif dan berpatutan, daripada produk takaful keluarga hingga takaful am,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!