‘Kapal’ ganti feri untuk seberangi sungai di musim bah

A
A
A

KUALA KRAI - Operasi feri yang menjadi nadi pengangkutan kira-kira 15,000 penduduk di enam kampung untuk berulang-alik menyeberangi Sungai Kelantan terhenti sejak Khamis lalu akibat arus deras.

Kemudahan yang disediakan oleh Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad tersebut buat sementara digantikan kepada bot tunda atau dipanggil ‘kapal’ dalam kalangan penduduk setempat.

Kampung yang terlibat ialah Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Buyong Darul Hijrah, Sungai Taku, Taku Estet dan Bahagia.

ASROL AKIF
ASROL AKIF

Pemandu bot tunda dan feri, Asrol Akif Jazlan, 23, berkata, feri yang biasa digunakan tersebut mampu membawa penumpang bersama muatan hingga enam kereta dan motosikal kerana saiznya yang lebih lebar.

Katanya, ‘kapal’ pula bersaiz lebih kecil dan hanya boleh membawa 10 penumpang serta motosikal pada satu-satu masa untuk menyeberangi sungai.

“Hujan sejak tiga hari lalu menyebabkan arus Sungai Kelantan menjadi deras dan berbahaya. Arus ini boleh menghayutkan feri jika terus beroperasi.

Artikel Berkaitan:

‘Kapal’ yang digunakan bagi menggantikan perkhidmatan feri pada musim tengkujuh di Kuala Krai.
‘Kapal’ yang digunakan bagi menggantikan perkhidmatan feri pada musim tengkujuh di Kuala Krai.

“Bagi penduduk pula, mereka amat bergantung dan memerlukan pengangkutan air untuk urusan harian termasuk pelajar yang perlu ke sekolah menengah di tanah besar, jadi ‘kapal’ ini digunakan sebagai ganti untuk membawa mereka menyeberang,” katanya ketika ditemui di jeti Kampung Pasir Era di sini, pada Sabtu.

Sungai Kelantan diredah demi membantu penduduk menjalankan urusan harian.
Sungai Kelantan diredah demi membantu penduduk menjalankan urusan harian.

Menurut pemuda itu, kira-kira 50 trip dilakukan pada setiap hari bersama pembantu, Wan Azhar Wan Ahmad, 45, meredah arus di sungai selebar 150 meter sambil membawa para penumpang yang memakai jaket keselamatan.

“Setiap penumbang dikenakan caj RM1, bagi pelajar dan kanak-kanak adalah percuma manakala motosikal dikenakan bayaran RM2.

Penumpang yang bersedia untuk menyeberangi sungai dari jeti Kampung Era.
Penumpang yang bersedia untuk menyeberangi sungai dari jeti Kampung Era.

“Saya juga akan melihat keadaan arus sungai terlebih dahulu, jika terlalu deras dan berbahaya maka tidak diredah serta akan menunggu keadaan reda barulah menyeberangi semula,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pesakit buah pinggang tahap lima, Rosdi Ismail, 58, berkata, dia terpaksa bergadai nyawa menggunakan pengangkutan air tersebut untuk berulang-alik ke Hospital Sultan Ismail Petra bagi menjalani dialisis tiga kali seminggu.


ROSDI
ROSDI

Rosdi berharap supaya kerajaan mempercepatkan pembinaan jambatan dari Kampung Pasir Era ke enam kampung berkenaan bagi meringankan beban penduduk.

“Orang berusia dan sakit seperti saya berisiko tergelincir kerana keadaan licin pada lantau ‘kapal’ lebih-lebih lagi semasa hujan.

“Saya pula tidak ada pilihan kerana jalan darat terlalu jauh, berlubang dan becak selain memakan masa hingga lebih dua jam berbanding sungai. Sebab itu, kami harap pihak kerajaan prihatin untuk mempercepatkan pembinaan jambatan ke kampung kami,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!