'Duduk dalam dunia politik, ertinya kita sedia dikritik, bertempur'

Adam Adli menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional Tahunan AMK 2023 yang berlangsung di PICC pada Sabtu. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR
Adam Adli menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional Tahunan AMK 2023 yang berlangsung di PICC pada Sabtu. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu menanamkan nilai kuat dalam diri bagi mendepani segala kritikan dan cabaran dunia politik.

Ketuanya, Adam Adli Abdul Halim berkata, sebagai pemimpin, nilai penting yang perlu diwujudkan dalam keperibadian adalah sifat adil, rendah diri, sedia mendengar kritikan, dan jangan terlalu berasa diri itu besar.

"Duduk dalam dunia politik, ertinya kita ini bersedia untuk dikritik, ertinya kita bersedia untuk bertempur.

"AMK yang pernah melalui zaman sebagai pembangkang dan pernah juga melalui zaman sebagai pemenang, kita tentu sekali diuji dengan kedua-duanya. Ini mungkin ujian buat kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Kongres Nasional Tahunan AMK 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

Ujar Adam Adli, perlu ada kesedaran yang tinggi dalam diri bahawa keberadaan semua perwakilan AMK pada kongres kali ini adalah amanah, tanggungjawab dan kepercayaan rakyat.

"Saya yakin, teman-teman AMK adalah orang yang tahan diuji, tahan lawan dan orang yang tahu peranan sedang dimainkan oleh media massa tetapi menjadi tugas kami di peringkat pimpinan pusat untuk menentukan hala tuju yang jelas.

"Supaya dalam kita bergerak ini, kita tidak tersesat," ujarnya.

Artikel Berkaitan: