CEO Cilik pupuk kemahiran usahawan muda

Muhamad Nasir (tengah) merasmikan program CEO Cilik di SK Sri Subang Jaya pada Sabtu.
Muhamad Nasir (tengah) merasmikan program CEO Cilik di SK Sri Subang Jaya pada Sabtu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Program CEO Cilik anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Subang Jaya berjaya memupuk minat keusahawanan dalam kalangan murid untuk membantu mengumpul dana membaiki infrastruktur bangunan yang rosak.

Guru Besar sekolah terbabit, Yusnidar Mohd berkata, ia sejajar dengan hasrat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melahirkan murid yang kritis dan mendedahkan kemahiran berniaga.

Menurutnya, dengan penglibatan dan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat mengeratkan hubungan silaturahim menerusi pelbagai aktiviti di sekolah tersebut.

“Program ini mengajak murid memasarkan produk mereka dan kita mempunyai 13 gerai jualan yang terdiri daripada pelbagai jenis makanan, minuman dan manisan serta permainan.

Barisan guru bersama Muhamad Nasir (tengah) bergambar bersama.
Barisan guru bersama Muhamad Nasir (tengah) bergambar bersama.



“Aktiviti ini bukan sahaja memupuk kemahiran perniagaan, tetapi juga sebagai usaha untuk mengamalkan gaya hidup muhibah sejajar dengan kehendak kerajaan yang menekankan konsep perpaduan antara kaum,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Yusnidar berkata, selain menjalankan aktiviti keusahawanan, mereka juga telah menyalurkan bantuan keperluan barangan persekolahan kepada anak-anak yatim dan asnaf.

Jelasnya, sebanyak 257 orang yang terdiri daripada lima sekolah dan tiga lagi daripada rumah anak-anak yatim akan mendapat bantuan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Anak yatim dan golongan asnaf bergambar sebelum melakukan aktiviti.
Anak yatim dan golongan asnaf bergambar sebelum melakukan aktiviti.

“Hasil jualan yang diperoleh daripada program ini akan disumbangkan untuk membantu memperbaiki infrastruktur sekolah dan juga membantu anak-anak yatim serta asnaf.

“Sasaran awal untuk mengutip dana pada hari ini adalah sebanyak RM30,000 dan jualan kupon kita sebanyak RM10 pada hari ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat khususnya penduduk Subang Jaya,” ujarnya.

Sementara itu, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah berkata, pendedahan dunia perniagaan kepada murid sekolah berupaya membentuk modal insan yang bersifat global.

Antara murid yang mengambil bahagian dalam Program CEO Cilik anjuran SK Sri Subang Jaya pada Sabtu. Gambar kecil: Yusnidar Mohd
Antara murid yang mengambil bahagian dalam Program CEO Cilik anjuran SK Sri Subang Jaya pada Sabtu. Gambar kecil: Yusnidar Mohd

Menurutnya, penggunaan teknologi komunikasi yang semakin canggih membolehkan masyarakat bergelar usahawan dengan mudah.

“Dunia pada hari ini sudah berubah dan pendedahan awal kepada dunia perniagaan berupaya membentuk murid menjadi modal insan kepada negara.

“Saya yakin murid SK Sri Subang Jaya mampu menjadi yang terbaik ditambah pula dedikasi guru-guru yang tidak mengenal erti penat untuk menyampaikan ilmu,” katanya.