Pelarian Rohingya terkandas

Bot kayu yang padat dengan pelarian dari kem Cox's Bazar, Bangladesh telah tiba di Aceh baru-baru ini.
Bot kayu yang padat dengan pelarian dari kem Cox's Bazar, Bangladesh telah tiba di Aceh baru-baru ini.
A
A
A

ACEH - Indonesia berdepan krisis pelarian baharu selepas ketibaan tiga buah bot dalam tempoh beberapa hari dengan hampir 1,000 etnik Rohingya dari Bangladesh yang mendarat di pantai barat Indonesia.

Bangladesh adalah rumah kepada kira-kira sejuta pelarian Rohingya, yang kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan kejam pada 2017 oleh tentera Myanmar.

Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam dianiaya dengan teruk di Myanmar dan memaksa ribuan daripada mereka mempertaruhkan nyawa setiap tahun dalam perjalanan laut dengan menaiki bot yang sesak untuk cuba sampai ke Malaysia atau Indonesia.

Pelarian yang kebanyakan terdiri daripada wanita dan kanak-kanak dikatakan bersesak di dalam bot kayu yang membawa mereka dari kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh.

Kumpulan terbaru melibatkan 219 pelarian termasuk 72 lelaki, 91 wanita dan 56 kanak-kanak tiba di bandar Sabang, wilayah Aceh kira-kira jam 11 malam (waktu tempatan) pada Selasa.

Pihak berkuasa Indonesia menanda setiap pelarian dengan gelang khas sebaik mereka tiba di pantai pulau Sabang, Aceh.
Pihak berkuasa Indonesia menanda setiap pelarian dengan gelang khas sebaik mereka tiba di pantai pulau Sabang, Aceh.

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, pihak berkuasa tempatan kemudian bersetuju untuk memindahkan mereka dengan feri pada Rabu, ke tempat perlindungan sementara di salah satu bandar terbesar di Aceh.

Sementara itu, ketua agensi sosial Sabang, Naufal berkata, semua pelarian itu akan dipindahkan ke tempat perlindungan di Lhokseumawe, Aceh.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pemindahan itu telah diselaraskan dengan UNHCR dan pelarian diberikan makanan serta minuman sebaik tiba.

“Kerajaan memutuskan untuk membawa mereka ke tempat yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Kumpulan itu menghabiskan 15 hari di laut selepas meninggalkan Bangladesh ke Aceh bagi mencari tempat perlindungan selamat.

Hampir 200 Rohingya maut atau hilang pada tahun lalu ketika cuba menyeberangi laut berbahaya menuju ke destinasi mereka. - AFP