Selangor mahu simpan 'Mickey' selama boleh

Mohamad Faisal
Mohamad Faisal
A
A
A

SELANGOR FC berhasrat menyimpan pemain sayapnya, Mohamad Faisal Abdul Halim untuk tempoh yang panjang selepas tampil dengan prestasi memberangsangkan sejak menyertai skuad Gergasi Merah itu musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, ketika ini perbincangan pelanjutan kontrak antara kelab dan Mohamad Faisal yang lebih mesra disapa 'Mickey' sedang berlangsung.

"Mickey adalah pemain penting untuk Selangor, kami mahu menyimpan pemain yang terbaik, kami gembira dengan Mickey dan beliau juga bersama Selangor.

"Jadi kami harap dapat melanjutkan kontraknya selama yang mungkin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Selangor dan Citadel Group Technologies di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di sini hari ini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Presiden FAS berkenan berangkat ke majlis itu.

Pada masa sama, susulan khabar angin yang mengaitkan pemain skuad Harimau Malaya berusia 25 tahun itu ke Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan, Johan berkata, Mickey ketika ini komited untuk membantu Selangor menamatkan musim ini dengan pencapaian terbaik.

"Beliau adalah pemain Selangor untuk selama mana yang beliau mahukan,” katanya.

Mickey menyertai Selangor daripada Terengganu FC musim ini dengan nilai perpindahan yang tidak dinyatakan dan menjadi antara watak utama membantu juara Piala Malaysia terbanyak itu untuk berada di kedudukan kedua Liga Super, berbaki tiga perlawanan musim ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengumpul 11 gol dalam kempen Liga Super dan menjaringkan satu gol dalam saingan Piala FA musim ini.

Mohamad Faisal juga merupakan pemain utama dalam skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon yang melakar deretan keputusan positif sepanjang tahun ini.

Terdahulu, Johan berkata kerjasama dengan Citadel Group Technologies melangkaui usahasama teknologi konvensional.

"... ia merupakan satu langkah yang sangat penting ke arah memberi makna baharu dalam hubungan kami bersama peminat. Dalam mendepani era digital, penyokong kami akan menikmati pengalaman yang lancar dan mengasyikkan, daripada membeli produk dan perkhidmatan kami secara dalam talian sehingga mengikuti perkembangan berita kelab.

"Citadel Group Technologies berkongsi matlamat kami dan bersama-sama menyasarkan untuk menetapkan standard baharu keterlibatan peminat dalam bola sepak,” katanya. - Bernama