FAM tolak rayuan Faisal Halim, JDT

Mohammad Mokhtar Mohamad Shariff
Mohammad Mokhtar Mohamad Shariff
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengekalkan penggantungan perlawanan selama sebulan yang telah dijatuhkan kepada pemain sensasi Selangor FC, Faisal Halim baru-baru ini.

Perkara tersebut diumumkan FAM selepas mesyuarat Jawatankuasa Rayuan badan induk itu dipengerusikan Datuk Seri Mohammad Mokhtar Mohamad Shariff yang telah diadakan pada Jumaat.

Namun, Faisal diberikan kelonggaran untuk kembali turun menjalani sesi latihan bersama skuad Gergasi Merah.

"Membabitkan pemain Selangor FC, Mohamad Faisal Abdul Halim, penggantungan selama sebulan dari 25 Julai hingga 23 Ogos 2023 adalah dikekalkan.

"Jawatankuasa bersetuju untuk memberi kelonggaran membenarkan Mohamad Faisal kembali turun menjalani sesi latihan bersama Selangor FC berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan beliau dapat mengekalkan tahap kecergasannya sebagai seorang pemain bola sepak," kata FAM dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, FAM telah menjatuhkan hukuman penggantungan perlawanan selama empat bulan kepada Faisal selepas kenyataan media yang dibuat pemain itu selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada 27 April lepas.

Bagaimanapun, hukuman penggantungan itu berlangsung sebulan dahulu, bermula 25 Julai hingga 23 Ogos ini, manakala bakinya ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain berusia 25 tahun itu selama setahun bermula 24 Ogos.

Dalam pada itu, Jawatankuasa Rayuan FAM turut menolak rayuan dikemukakan Johor Darul Ta'zim (JDT) berhubung tiga insiden membakar suar yang dilakukan segelintir penyokong kelab itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

"Hukuman denda berjumlah RM120,000 bagi ketiga-tiga kes berkenaan adalah dikekalkan," kata kenyataan itu lagi.

JDT telah dijatuhkan hukuman denda membabitkan tiga pembakaran suar dalam dua perlawanan Liga Super dan satu perlawanan Piala FA.