X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan masih benarkan jual arak

Takiyuddin
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak pernah menghalang atau mengharamkan penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam di negeri itu.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, lesen dan permit penjualan arak disusun secara terkawal termasuk juga kebebasan meminumnya bagi orang bukan Islam.


Mengulangi kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, Takiyuddin menjelaskan, ia disusun di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan dengan syarat tidak melibatkan orang Islam.

“Hak kepada orang bukan Islam tidak pernah dinafikan, hatta hak meminum minuman keras. Saya tegaskan sekali lagi. Kelantan tidak pernah mengharamkan minuman keras cuma kita menyusun permit dan lesen minuman keras mengikut keperluan dan kehendak masyarakat bukan Islam.

“Yang kita haramkan ialah judi, yang mana judi ini kita lihat ia tidak memberi keuntungan kepada sesiapa sahaja termasuk orang bukan Islam sendiri,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau menghadiri program Back To School, Gunting Rambut Percuma Antara Kaum di Dataran Cheng Ho semalam.

Takiyuddin yang juga bekas Exco Kanan Kerajaan Kelantan berkata, walaupun kerajaan negeri tidak menghalang orang bukan Islam meminum minuman keras tetapi masyarakat tersebut masih menghormati orang Islam dan tidak menimbulkan masalah.

“Orang bukan Islam sendiri pun tidak minum secara terbuka kerana rasa hormat menghormati mereka kepada orang Islam. Mereka minum di kedai yang dibenarkan sahaja.

“(Di Kelantan) terdapat kedai atau restoran orang Melayu menjual nasi dan orang Cina berniaga minuman bersama tetapi tidak boleh dihidangkan arak di restoran seumpama itu kerana menghormati kaum lain,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu juga berkata, terdapat dua jenis premis menjual minuman keras iaitu restoran Cina dan satu lagi lesen yang dikeluarkan untuk menjual arak Liquor (mahal).

“Ada lesen yang menjual minuman keras dikeluarkan oleh kerajaan pusat menerusi Kementerian Kewangan. Itu yang dipanggil Liquor. Ini pun ada di Kelantan yang membenarkan mereka membeli dan minum di rumah serta di dalam majlis orang bukan Islam sahaja.

“Itu yang kena faham. Terdapat lesen menjual minuman keras yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan ialah untuk di restoran-restoran dan ada yang kerajaan pusat,” katanya.

Takiyuddin berkata, beliau tidak mempunyai jumlah terkini lesen yang dikeluarkan tetapi berdasarkan pengetahuannya angka tersebut kemungkinan bertambah.

“Kita akan mengkaji mengikut keperluan. Kalau ada keperluan dengan adanya sokongan daripada Exco dan wakil rakyat yang berkaitan majlis pihak berkuasa tempatan akan tambah (lesen),” katanya.

Memetik kenyataan Takiyuddin pada 2011, di sekitar bandar Kota Bharu sahaja, kerajaan negeri mengeluarkan 28 lesen premis minuman keras termasuk di kawasan Jalan Kebun Sultan yang dikenali sebagai 'China Town'.

Ini termasuk lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kerajaan tempatan atau majlis daerah lain di seluruh negeri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus