'Peluang kembali ke tanah air selepas berkelana di Malaysia'

Ahmad (kiri) dan Saddam.
Ahmad (kiri) dan Saddam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Program Back For Good (B4G) yang ditawarkan Jabatan Imigresen Malaysia kepada pendatang asing tanpa izin yang berada di negara ini disifatkan sebagai peluang terbaik bagi golongan itu memulakan kehidupan baharu.

Salah seorang daripada pemohon program itu, Ahmad, 50, yang berasal dari Jawa Tengah, Indonesia berkata, program itu adalah peluang kepada dirinya untuk kembali ke tanah air selepas lebih lima tahun berkelana di Malaysia.

“Saya sampai di Johor ini pada 2015, ketika itu memang saya dijanjikan kerja secara sah, boleh buat permit tetapi akhirnya itu hanya janji manis. Sehingga hari ini saya sudah lebih had umur masih tidak menerima apa-apa.

“Kehidupan saya sejak empat tahun ini memang suram, dalam ketakutan dan berpindah-randah. Belum sempat terima gaji saya perlu larikan diri kerana bimbang penguat kuasa buat operasi. Memang banyak rugi tetapi ini untuk rezeki isteri dan anak-anak di kampung.

“Kali terakhir saya bekerja di Simpang Renggam sebagai pekebun, di sini saya tahu mengenai program ini tetapi tidak boleh keluar lebih awal sebab tidak mempunyai kos untuk beli tiket pulang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Wisma Persekutuan di sini semalam.

Program B4G dianjurkan Jabatan Imigresen untuk hantar PATI pulang ke negara asal. - Foto Jabatan Imigresen Malaysia
Program B4G dianjurkan Jabatan Imigresen untuk hantar PATI pulang ke negara asal. - Foto Jabatan Imigresen Malaysia

Ahmad yang juga bapa kepada dua anak memberitahu, dia tidak mahu keluar dari negara ini melalui laluan haram kerana mempunyai hasrat untuk kembali di sini lagi sekiranya masih mempunyai peluang.

“Ini sebenarnya bukan pertama kali, sebelum ini saya bekerja di Pahang selama tujuh tahun secara sah. Disebabkan itu juga saya nekad kembali untuk mencari rezeki di negara ini cuma sayangnya nasib tidak menyebelahi saya.

Artikel Berkaitan:

“Ada terfikir untuk balik guna laluan tikus sahaja, tetapi saya takut rekod saya akan rosak dan disenarai hitam pula selepas ini, lagipun saya fikirkan keselamatan. Banyak dengar perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Katanya, pengalaman salah seorang kenalannya yang maut ketika menggunakan khidmat tekong haram untuk pulang ke Indonesia juga menjadi pengajaran buat dirinya untuk tidak menggunakan cara tersebut.

Sementara itu, Saddam, 28, dari Janakpur, Nepal berkata, dia bekerja di sebuah kedai perabot di Batu Pahat sejak empat tahun lalu dan memang tidak mempunyai permit bekerja.

Katanya, selain tidak mengetahui prosedur sah, wangnya juga seringkali ditipu kerana dipermainkan ejen pekerjaan yang mahu menawarkannya kerja lebih baik dengan saluran sah.

“Saya sampai sini (Wisma Persekutuan) sudah tiga hari. Sebenarnya saya tahu lambat sebab tiada yang maklum, masa bekerja di Batu Pahat majikan saya memang tidak ada maklum apa-apa, walaupun tahu saya mahu pulang ke kampung.

“Saya duduk di sana pun secara sembunyi. Bila kawan kata hanya perlu bayar kompaun, saya tidak tunggu lama, terus berhenti dan dapatkan tiket penerbangan. Walaupun mahal, bagi saya ia berbaloi sebab ini peluang saya untuk balik dengan cara baik,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 102,618 PATI sertai program B4G

Pendatang asing 'serang' pejabat Imigresen Pulau Pinang