MyAQSA fail petisyen aduan jenayah perang di Gaza kepada ICC

Asap berkepul-kepul selepas serangan Israel di utara Gaza. - Foto AFP
Asap berkepul-kepul selepas serangan Israel di utara Gaza. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yayasan MyAQSA (MyAQSA) telah memfailkan petisyen aduan berhubung jenayah perang dan bukti kekejaman rejim Zionis terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kepada Pejabat Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda.

Pengerusi MyAQSA, Suwardi Yaacob berkata, satu pasukan peguam berpengalaman dan aktivis hak asasi manusia diketuai oleh Profesor Datuk Dr Rahmat Mohamad bersama peguam, Lukman Sheriff Alias dan Azril Mohd Amin, secara rasmi mengemukakan petisyen tersebut semalam.

"Penghujahan itu disusun dengan teliti oleh pasukan penyelidik MyAQSA dan dikemukakan untuk mengetengahkan dan menangani jenayah kejam terhadap kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di pelbagai fasiliti penjagaan kesihatan di Gaza," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hujahan itu tertumpu kepada serangan dan pengeboman amat keji itu terhadap institusi perubatan penting, iaitu Hospital al-Shifa, Hospital al-Quds, Hospital Indonesia dan Hospital al-Ahl, di Gaza.

"Penyerahan petisyen setebal 52 muka surat itu menggariskan sejarah prosedur, rangka kerja undang-undang yang relevan dan urutan kekejaman terperinci yang dilakukan oleh Netanyahu yang menyebabkan ribuan kematian, kecederaan dan kehilangan rumah penduduk Palestin yang tidak bersalah,” katanya.

Suwardi berkata, pengumpulan bukti dilakukan dengan bantuan kerajaan Palestin, terdiri daripada video dan gambar serta beberapa kenyataan langsung daripada saksi kekejamaan pada masa berkaitan.

Beliau berkata, MyAQSA sanggup menyediakan butiran lanjut sekiranya ICC memerlukan untuk tujuan pendakwaan berdasarkan bukti yang dikemukakan.

"Dengan penyerahan petisyen aduan ini, MyAQSA percaya bahawa terdapat lebih daripada alasan munasabah untuk membolehkan ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap pelaku,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Suwardi berkata, MyAQSA menggesa segera mendakwa secara rasmi orang tertuduh atas dakwaan jenayah yang dilakukan mengikut Perkara 16 Statut Rom.

"Kami memohon penyiasatan menyeluruh dimulakan oleh ICC berdasarkan maklumat dan bukti seperti yang diperuntukkan mengikut Artikel 15 dan 53 Statut Rom...daripada perspektif MyAQSA, terdapat bukti yang kukuh untuk ICC memulakan dan melengkapkan siasatannya, " katanya.

MyAQSA menuntut ICC segera meneruskan siasatan tanpa sebarang kelewatan serta bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih kerana ICC sudah bertindak pantas sebelum ini dengan bukti awm yang kurang menarik dalam kekejaman yang dilakukan oleh Israel di Gaza, katanya.

"Kami berdiri teguh dalam usaha mencari keadilan untuk semua penduduk Palestin yang terjejas oleh pencabulan undang-undang antarabangsa ini.

"Kami bersama-sama pihak lain menyeru ICC bertindak dengan cara yang paling cepat menahan mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan entik yang berterusan di Gaza,” katanya. - Bernama