Hati-hati salur sumbangan tabung Palestin - Mohd Na'im

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menyerahkan isu Aman Palestin yang disyaki seleweng dana awam RM70 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mohd Na'im berkata, pihaknya tidak boleh memberikan sebarang komen berhubung isu tersebut bagi memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara terperinci.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pengguna untuk lebih waspada dan berhati-hati dengan menyalurkan sumbangan ke tabung yang betul.

Menurutnya, kerajaan telah menubuhkan Tabung Rahmah Madani, Yayasan Wakaf Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi tujuan tersebut.

"Di peringkat Kementerian Luar Negeri pun ada akaun yang telah dimaklumkan kerajaan sebagai jaminan untuk memastikan supaya sumbangan kita benar-benar sampai ke Gaza.

"Niat kita sudah betul tapi tak mahu ia hanya separuh jalan sahaja dan tak sampai kepada golongan yang disasarkan.

"Masyarakat Malaysia sangat pemurah cuma pastikan sumbangan itu sampai ke tempat yang dituju," katanya ditemui pada Bengkel Etika dan Pengurusan Kaunter Berkualiti 2023 di Hotel Tamu pada Khamis.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan SPRM membeku 41 akaun bernaung di bawah Aman Palestin yang disyaki menyeleweng dana awam RM70 juta.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, tindakan itu diambil selepas siasatan terhadap Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dijalankan sejak 17 Oktober lalu.