Hasil padi di Sekinchan tertinggi dalam negara - Amirudin

Majoriti pesawah Sekinchan teliti daripada peringkat penyediaan tanah, penggunaan benih berkualiti, pembajaan teratur hingga kaedah mencegah serangan rumpai dan serangga perosak. - Gambar hiasan
Majoriti pesawah Sekinchan teliti daripada peringkat penyediaan tanah, penggunaan benih berkualiti, pembajaan teratur hingga kaedah mencegah serangan rumpai dan serangga perosak. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Hasil padi di Sekinchan merupakan yang tertinggi dalam negara dengan setiap hektar mampu untuk menghasilkan sebanyak 12 tan padi berbanding negeri lain sekitar empat tan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu hantaran di Facebooknya memaklumkan, Selangor menerapkan pelbagai teknologi dan teknik terkini bagi memastikan hasil yang terbaik.

Amirudin
Amirudin

Menurutnya, selain faktor tanaman lima musim dalam dua tahun berbanding empat musim di negeri lain, prosedur operasi standard (SOP) penanaman tanaman itu juga rapi.

"Majoriti pesawah Sekinchan teliti daripada peringkat penyediaan tanah, penggunaan benih berkualiti, pembajaan teratur hingga kaedah mencegah serangan rumpai dan serangga perosak.

"Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan (IoT) juga turut diterapkan bagi meningkatkan hasil tuaian," katanya pada Khamis.

Dalam pada itu, Amirudin turut memaklumkan infrastruktur sawah khususnya pengairan yang berkesan menjadi kelebihan Sekinchan untuk menghasilkan padi yang lebih baik.

Tambah beliau, penanaman secara mencedung (transplanter) juga dilakukan iaitu benih padi disemai terlebih dahulu di tapak semaian.

Artikel Berkaitan:

"Apabila anak padi mencapai tahap sesuai, lantas ditanam menggunakan jentera. Kaedah moden ini lebih baik untuk tumbesaran padi.

"Insya-ALLAH, kerajaan negeri akan terus memberi perhatian serius membangunkan industri tani selari dengan perkembangan zaman.

"Selain bermanfaat untuk para petani, rakyat serta negeri turut mendapat manfaatnya," katanya.