'Bukan diserang harimau, tapi diserang beruk' - Perhilitan

Tular gambar kanak-kanak cedera kononnya diserang harimau di Gerik rupa-rupanya dicakar beruk dalam kejadian di Kelantan, Isnin lalu. - Foto ihsan pembaca
Tular gambar kanak-kanak cedera kononnya diserang harimau di Gerik rupa-rupanya dicakar beruk dalam kejadian di Kelantan, Isnin lalu. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak menafikan berlakunya kejadian serangan harimau hingga mencederakan seorang kanak-kanak di Gerik.

Pengarahnya, Yusoff Shariff berkata, siasatan mendapati gambar kanak-kanak lelaki yang tular di laman sosial itu merupakan mangsa serangan beruk.

"Berdasarkan maklumat, kejadian itu bukan berlaku di Gerik sebaliknya mangsa terkena cakar beruk di Meranto, Gua Musang, Kelantan, Isnin lalu.

"Diharapkan orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar hingga boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis

Terdahulu, tular mesej suara kononnya seorang kanak-kanak diterkam harimau ketika bermain di Kampung Air Kala, Lenggong.

Budak lelaki itu bagaimanapun bernasib baik apabila diselamatkan oleh penduduk kampung.

Dalam perkembangan lain, Yusoff berkata, tindakan diambil terhadap aduan kehadiran seekor harimau di kawasan Air Jada dekat Kenering.

"Kita terima banyak aduan sebelum ini dan perangkap telah pun dipasang di kawasan berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau mengulas mengenai laporan seorang lelaki Orang Asli telah terserempak dengan seekor harimau di kebun Felcra Air Jada pada Selasa.