Lima lembangan sungai di Selangor dalam kategori bersih

Sungai Klang dikategorikan sebagai sederhana tercemar dengan Indeks Kualiti Air antara 64 dan 77. - Gambar hiasan
Sungai Klang dikategorikan sebagai sederhana tercemar dengan Indeks Kualiti Air antara 64 dan 77. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Lima lembangan sungai yang membekalkan lebih 90 peratus sumber bekalan air kepada penduduk Selangor dan Lembah Klang serta Putrajaya dikategorikan bersih sejak 2018 hingga tahun lalu.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, lima lembangan sungai itu ialah Sungai Selangor, Sungai Langat, Sungai Tengi, Sungai Sepang dan Sungai Bernam.

Menurutnya, satu lembangan sungai iaitu Sungai Klang dikategorikan sebagai sederhana tercemar dengan Indeks Kualiti Air (IKA) antara 64 dan 77.

"Hanya satu lembangan sungai iaitu Sungai Buloh yang mencatatkan status kualiti air sungai yang tercemar dengan nilai IKA antara 51 dan 54 pada tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Afif Bahardin (PN-Taman Medan) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Jamalia memberitahu, kerajaan negeri melalui Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sentiasa menjalankan pemantauan secara bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah dalam memastikan persekitaran sumber air terpelihara daripada ancaman pencemaran.

Justeru, katanya, LUAS melaksanakan inisiatif memperkasakan tindakan pemantauan dan juga kawalan punca pencemaran bagi memastikan sumber air terpelihara.

"Kerajaan negeri melalui Selangor Maritime Gateway (SMG) bersama LUAS menjadi urusetia pelaksanaan Jawatankuasa Kecil Air SMG di Sungai Klang.

Artikel Berkaitan:

"Salah satu objektifnya bertujuan meminimumkan jumlah sisa pepejal ke muara sungai dengan pemasangan dua buah interceptor di Sungai Klang oleh pihak Landasan Lumayan Sdn Bhd," tambahnya.

Jelas beliau, bagi menambah keberkesanan menangani isu sisa pepejal di Sungai Klang, SMG telah memasang 10 buah mini 'log boom'.

"Pelaksanaan inisiatif ini adalah bagi meningkatkan kualiti air dan pemantauan kualiti air dilaksanakan di Sungai Klang melalui empat stesen pemantauan kualiti air di Sungai Klang.

"Empat stesen itu iaitu di Pengkalan Batu, Kampung Medan, Jeti Sungai Udang dan Kampung Lombong," katanya.

Jamaliah menjelaskan, inisiatif lain dilaksanakan seperti menjalankan kajian inventori guna tanah di rizab sungai yang berisiko sebagai langkah pencegahan dan kawalan aktiviti di rizab sungai bagi tindakan pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu.

"Selain itu, melaksanakan pemantauan di Lembangan Sungai Klang bagi memastikan sumber air terpelihara dengan melaksanakan langkah-langkah kawalan dan pencegahan bagi meminimumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

"Inisiatif lain turut dilakukan seperti pelaksnaan blok pemantauan kualiti air (RMP) di sepanjang rizab sungai utama dan anak sungai di negeri ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!