Korea Utara dakwa berjaya lancar satelit pengintip ke orbit

Roket yang membawa satelit peninjau 'Malligyong-1' dilancarkan dari Tapak Pelancaran Satelit Sohae di wilayah Phyongan Utara. - Foto AFP
Roket yang membawa satelit peninjau 'Malligyong-1' dilancarkan dari Tapak Pelancaran Satelit Sohae di wilayah Phyongan Utara. - Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Korea Utara mendakwa berjaya menempatkan satelit pengintip pertamanya ke orbit pada Selasa selepas beberapa percubaan gagal, kata agensi angkasa lepasnya.

Pentadbiran Pembangunan Aeroangkasa Nasional Korea Utara berkata, satelit Malligyong-1 dilancarkan dari kemudahan pelancaran satelit Sohae pada 10.42 malam (13:42 GMT) dan memasuki orbit pada jam 10.54 malam (1:354 GMT), lapor Agensi Anadolu memetik Agensi Berita KCNA.

Kim Jong-un secara peribadi menyelia pelancaran satelit pengintip itu pada Selasa.

Pelancaran itu dibuat selepas lawatan rasmi pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un ke Rusia pada September yang menyaksikan hubungan antara kedua-dua negara dipertingkatkan, termasuk dalam sektor pertahanan.

Sebanyak dua pelancaran satelit Korea Utara pada Mei dan Ogos lepas menemui kegagalan.

Sebelum pelancaran, tentera Korea Selatan mengesan roket yang membawa satelit itu ke angkasa dan Pengawal Pantai Jepun memberi amaran kepada kapal-kapal di rantau itu mengenai bahagian roket yang berpotensi jatuh.

Pelancaran satelit Pyongyang itu kemudian mencetuskan kecaman dari Korea Selatan, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) yang menyifatkan langkah berkenaan mencabuli resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. - Bernama


PBB kecam tindakan Korea Utara lancar satu lagi satelit ketenteraan

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengecam Korea Utara kerana melancarkan satu lagi satelit ketenteraan menggunakan teknologi peluru berpandu balistik, lapor Sptunik memetik jurucakap PBB Stephane Dujarric pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Setiausaha agung mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran satu lagi satelit ketenteraan menggunakan teknologi peluru berpandu balistik oleh Republik Demokratik Rakyat Korea," menurut kenyataan itu.

Beliau berkata, sebarang pelancaran oleh Korea Utara menggunakan teknologi peluru berpandu balistik adalah bertentangan dengan resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCG) pada Selasa berkata Korea Utara telah melaksanakan pelancaran "satelit peninjau tentera".

JCG pada Isnin berkata Korea Utara telah memaklumkan mengenai rancangannya untuk melancarkan satelit antara 22 Nov dan 30 Dis.

Susulan pelancaran itu, Rumah Putih turut mengecam pelancaran peluru berpandu terbaru Korea Utara dan menggesa Pyongyang menghentikan aktiviti berkenaan.

Pelancaran itu turut dikecam oleh pihak berkuasa Korea Selatan dan mendorong Seoul menggantung sebahagian daripada perjanjian pengurangan ketegangan ketenteraan antara Korea 2018 sebagai tindak balas.

Situasi ini membolehkan Korea Selatan segera memulihkan aktiviti peninjauan dan pengawasan di sekitar sempadan dengan Korea Utara dalam kawasan sekitar Garisan Persempadanan Tentera yang memisahkan kedua-dua negara, lapor media Korea Selatan. - Bernama-Sputnik