Hormati kedaulatan, undang-undang negara jika buat persembahan di Malaysia

Teo Nie Ching ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa kementerian pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Teo Nie Ching ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa kementerian pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua artis tempatan dan antarabangsa yang berhasrat membuat persembahan di negara ini telah diingatkan untuk menghormati kedaulatan dan undang-undang Malaysia.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, perkara berkenaan sememangnya menjadi pendirian kementerian dan juga Kerajaan Madani.

"Setakat ini 296 konsert artis luar yang telah PUSPAL (Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) luluskan sepanjang tahun ini, semuanya berjalan baik dan mematuhi peraturan yang telah kita tekankan.

"Cuma ya, memang ada satu insiden, melibatkan kumpulan The 1975 itu yang memang langgar garis panduan, tapi janganlah disebab satu insiden itu, kita rasa semua konsert perlu dibatalkan,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab isu berkaitan kehadiran kumpulan Coldplay yang dijadualkan membuat persembahan di Stadium Bukit Jalil di sini malam ini, yang dibangkitkan ramai ahli Parlimen semasa sesi perbahasan.

Nie Ching juga berkata, kementerian tidak campur tangan dalam sebarang soal pemberian Dana Kandungan Digital (DKD) bagi penerbitan filem oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kerana setiap keputusan, dilakukan oleh jawatankuasa yang berkaitan.

Sementara itu, semasa menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) sama ada kerajaan bercadang membenarkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) membuat liputan program oleh blok pembangkang, Nie Ching berkata, perkara itu bukan satu masalah.

"Bernama dan RTM akan terus memberi liputan seimbang kepada mana-mana pihak, termasuk dalam kalangan kerajaan dan blok pembangkang. Contohnya boleh dilihat pada PRN (Pilihan Raya Negeri) dan PRK (Pilihan Raya Kecil) Pulai, Simpang Jeram, Jepak dan Kemaman.

Artikel Berkaitan:

Soalan-soalan dan perbahasan Arau di Dewan Rakyat ini juga ada sahaja dilaporkan oleh Bernama Wires, TV dan radio," katanya.

Mengenai inisiatif 5G Rahmah pula, Nie Ching berkata, setakat Oktober lepas, pakej berkenaan sudah mencecah 98,979 langganan dengan 49 peratus daripadanya adalah dilanggan oleh golongan B40.

Berkaitan soal penubuhan 1,878 Komuniti Madani yang akan diwujudkan di seluruh negara, Nie Ching berkata, sebanyak RM10,000 diperuntukkan kepada setiap komuniti dengan pecahan RM7,000 untuk pelaksanaan program manakala RM3,000 bagi kos pengurusan.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM2,849,246,800 yang diperuntukkan kepada Kementerian Komunikasi dan Digital dalam Belanjawan 2024 dengan lebih suara menyokong selepas dibahaskan 17 ahli Parlimen. - Bernama