Kerajaan diminta kaji semula Tabung Pinjaman Bencana

Che Alias
Che Alias
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan perlu mengkaji semula Tabung Pinjaman Bencana bagi membolehkan ia disalurkan dalam bentuk bantuan terus kepada golongan sasaran dan bukannya dalam bentuk pinjaman.

Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid berkata, antara kumpulan sasaran ialah petani, pesawah dan penternak yang ditimpa bencana alam sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

"Tabung Pinjaman Bencana yang diwujudkan perlu disemak semula secara menyeluruh dan adil tanpa membebankan golongan petani yang terjejas akibat fenomena alam seperti taufan, banjir dan lain-lain di negara ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan sama ada wang yang diperuntukkan bagi tabung itu benar-benar disalurkan kepada mereka yang terjejas.

"Timbul persoalan sama ada RM100 juta yang diperuntukkan benar-benar disalurkan kepada golongan sasaran yang ditimpa bencana alam.

"Kita mahu tahu adakah dana itu telah disalurkan kepada mereka yang ditimpa musibah banjir di seluruh negara baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, apa yang menghairankan bantuan itu disalurkan dalam bentuk pinjaman dengan kadar faedah empat peratus dan bukannya dalam bentuk bantuan terus.

"Bukankah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat yang menghadapi sebarang bencana alam sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Artikel Berkaitan:

"Adakah kerajaan berhasrat untuk mendapatkan keuntungan hasil daripada pinjaman dana tersebut?," katanya.

Justeru, katanya pihaknya menyarankan supaya bantuan itu dikaji semula tanpa memberi tekanan kepada rakyat yang ditimpa musibah.

"Kita harap kerajaan memberi bantuan terus kepada golongan sasaran yang ditimpa musibah bencana bukan menyalurkan dalam bentuk pinjaman," katanya.