'Kami seperti pasukan kawan-kawan'

Vera
Vera
A
A
A

PENGENDALI Kelantan FC, Alfredo Vera berkongsi realiti sebenar apabila terpaksa membawa masuk pemain muda dan penuntut universiti untuk membentuk pasukan bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Malah, jurulatih kelahiran Argentina itu mendedahkan, beliau perlu mengumpulkan pemain yang ada dalam kalangan mereka tidak pernah menyertai latihan bersama The Red Warriors (TRW).

“Sukar untuk saya cakap apa yang kita lakukan kerana kami kekurangan pemain.

"Hari ini (Isnin) kita kumpulkan seberapa ramai pemain dari universiti.

“Jujur saya katakan, kami seperti pasukan kawan-kawan, kumpulkan siapa yang mahu bermain.

"Ada pemain yang pernah menyertai sesi latihan dan ada juga pemain yang baru sertai pasukan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Kelantan FC mengalami kekalahan besar 0-7 kepada Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam pada Isnin.

Dalam kesukaran mengharungi situasi sukar itu, Vera enggan menyalahkan barisan pemainnya kerana menganggap mereka masih muda.

Artikel Berkaitan:

“Kita harus fikir begini, semua pemain yang bermain adalah 17 tahun, 18 tahun, 20 tahun dan 21 tahun.

"Malah, ada yang baru bermain tahun ini.

“Kita tiada pemain kompetitif, mereka harus bersaing sesama sendiri.

"Saya tak salahkan pemain, ada (jika) pemain bagus dan kita berlatih serta ada banyak waktu persiapan, mungkin kita akan jadi lebih baik,” jelasnya.