Apabila pemimpin Islam tidak bersatu

Rakyat Palestin dilihat dalam perjalanan dari Bandar Gaza ke arah selatan, di selatan Semenanjung Gaza, pada Sabtu. - Foto Xinhua
Rakyat Palestin dilihat dalam perjalanan dari Bandar Gaza ke arah selatan, di selatan Semenanjung Gaza, pada Sabtu. - Foto Xinhua
A
A
A

SERANGAN dan pengeboman berterusan tentera Israel terhadap penduduk Gaza di Palestin telah meruntun hati masyarakat seluruh dunia.

Setiap hari berita di dada akhbar utama dan platform media sosial yang menyiarkan laporan mengenai kezaliman tentera zionis terhadap orang awam termasuk bayi dan kanak-kanak pasti mengalirkan air mata semua orang.

Lantaran, persoalan timbul mengapa negara sebangsa dan seagama tidak membantu rakyat Palestin yang dibunuh secara kejam oleh Israel laknatullah itu?

Inilah kelemahan ketara dilihat berlaku di negara-negara Arab yang seolah-olah sama dengan pepatah Melayu ‘Jangan jaga tepi kain orang, pakat jaga tepi kain sendiri’ sehinggakan umat seagama ditindas dan tidak diperdulikan langsung.

Ini dapat disaksikan apabila resolusi Sidang Kemuncak Negara-negara Arab-Islam pada 11 November lepas gagal mencadangkan langkah konkrit atau strategik untuk mendesak Israel dan Amerika Syarikat (AS) menghentikan kekejaman terhadap Palestin.

Dapat disaksikan bagaimana pemimpin Islam dan Liga Arab sekadar mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan di Gaza, tetapi enggan mengenakan sekatan ekonomi dan politik terhadap Israel yang berterusan mengebom penduduk Gaza.

Rumusan hasil resolusi dalam sidang kemuncak di Riyadh, sekali gus telah menonjolkan perpecahan kalangan pemimpin wilayah Arab yang dipercayai mempunyai kepentingan masing-masing dalam menangani krisis yang mungkin akan membabitkan negara lain.

Sehingga ini, pemimpin Arab dan Muslim hanya sekadar merayu kepada Israel untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai.

Artikel Berkaitan:

Mereka langsung tidak menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghantar tentera pengaman.

Difahamkan, sejumlah negara, antaranya Algeria dan Lubnan telah mencadangkan supaya sekatan bahan api yang merupakan bekalan terpenting kenderaan perang kepada Israel dan memutuskan hubungan diplomatik serta ekonomi dengan Israel.

Namun apa yang mendukacitakan, sekurang-kurangnya tiga negara termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang menormalisasikan hubungan dengan Israel pada 2020, menolak cadangan itu.

Sudan dan Magribi juga dilihat berdiam diri selepas melakukan perkara sama seperti mana UAE dan Bahrain itu.

Turut dilihat apabila Mesir dan Jordan, negara jiran yang berkongsi sempadan dengan Gaza dan Tebing Barat menegaskan bahawa mereka tidak membenarkan pelarian perang memasuki kedua-dua negara itu.

Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sissi membuat kenyataan paling keras dengan mengatakan perang semasa bukan hanya bertujuan untuk memerangi Hamas, tetapi juga percubaan untuk mendorong penduduk awam untuk berhijrah ke negara itu.

Raja Jordan, Raja Abdullah II memberikan mesej yang sama dengan mengatakan ‘Tiada pelarian di Jordan, tiada pelarian di Mesir’.

Alasannya mereka bimbang bahawa pelarian ini akan kekal di negara tersebut atau berisiko pejuang dalam negara akan melancarkan serangan balas dendam ke atas Israel.

Walaupun segelintir negara-negara Arab ini seolah-olah seperti berpeluk tubuh, terdapat kumpulan-kumpulan pejuang yang lantang bersuara mempertahankan perjuangan Hamas dan tampil menghantar pasukan mereka.

Kumpulan pejuang Hizbollah di Lubnan antara yang pertama bertindak balas dengan melancarkan roket melintasi sempadan dan membunuh seorang pegawai kanan tentera Israel.

Kemudian, kumpulan bersenjata Iraq dan Yaman yang bersekutu dengan Iran turut mengancam untuk menyasarkan kepentingan AS dengan peluru berpandu dan dron jika pentadbiran Presiden AS, Joe Biden campur tangan untuk menyokong Israel.

Mungkin benar kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pemimpin Islam dan Arab seperti tiada maruah di mata dunia Barat.

* Zulhilmi Hat ialah Wartawan Global Sinar Harian