X

Kindly register in order to view this article
!

Cubaan seludup rokok RM2.8 juta tumpas

Wan Azharuddin (tengah) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas sepasukan polis IPD Tapah ketika sidang media di IPD Tapah di sini hari ini.
A
A

TAPAH - Polis Tapah menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup menerusi Op Asap selepas menahan empat lori di KM318.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara semalam.

Ketua Polis Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, serbuan dibuat jam 4.40 petang itu membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah hasil maklumat awam.

Menurutnya, hasil serbuan ke atas empat lori tersebut menemukan 23,800 karton rokok seludup dengan nilai rampasan dianggarkan RM2.8 juta.

"Semakan kita mendapati kesemua rokok seludup berkenaan menggunakan setem Kastam disyaki palsu.

"Empat lelaki yang merupakan pemandu lori berusia antara 26 hingga 39 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di IPD Tapah di sini hari ini.

Beliau berkata, rokok tersebut diseludup dari negara jiran dipercayai untuk pasaran negeri-negeri di utara Semenanjung.

Jelasnya, kesemua yang ditahan direman selama tujuh hari bermula hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang boleh dikenakan tindakan denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Wan Azharuddin berkata, tangkapan tersebut merupakan yang kedua dibuat pada Khamis lalu melibatkan rampasan 28,850 karton rokok di Jalan Station di sini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!