Geng Bri tumpas, lima termasuk ketua ditahan

Fisol ketika sidang media di IPK Kedah, Alor Setar pada Selasa.
Fisol ketika sidang media di IPK Kedah, Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah berjaya menumpaskan 'Geng Bri' yang aktif menjalankan kegiatan jenayah kecurian kenderaan, pecah rumah dan curi dalam bangunan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, penahanan itu sekali gus berjaya menyelesaikan 22 kes kecurian dan pecah rumah yang berlaku di sekitar daerah Kota Setar dan Pendang.

Katanya, polis telah menahan empat lelaki dan seorang wanita tempatan termasuk ketua kumpulan yang dikenali sebagai 'Bri’ yang berusia 36 tahun.

"Pada 29 Oktober lalu, pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah telah menahan seorang lelaki sebelum tangkapan susulan terhadap tiga lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 27 hingga 39 tahun dilakukan pada 2 dan 6 November lalu.

“Kumpulan yang aktif sejak awal tahun itu terlibat dalam kes curi kenderaan, pecah rumah dan curi dalam bangunan di mana mereka menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni serta premis perniagaan dan rumah yang dalam pembinaan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini pada Selasa.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa barang kes yang dilaporkan hilang antaranya dua motosikal, dua kereta, sebuah van dan beberapa barangan yang lain

"Manakala barangan yang tidak ditemui dipercayai telah dijual kepada pihak lain oleh suspek," katanya.

Jelasnya, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil saringan urin mendapati semua positif dadah jenis methamphetamin.

Artikel Berkaitan:

Kesemua mereka kini direman di lokap Balai Polis Alor Setar sehingga Selasa dan sambungan reman akan dipohon esok.

Dalam perkembangan lain, Fisol berkata, pada 15 November lalu, pihaknya telah menahan 10 lelaki warga tempatan yang berusia antara 24 hingga 46 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan bahan api diesel di dua kawasan berasingan di sekitar Kulim.

“Hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas 18,000 liter bahan api diesel yang disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran dan dianggarkan nilai keseluruhan rampasan termasuk beberapa kenderaan dan wang tunai adalah berjumlah RM349,850.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.