'Jalan kampung ini tak pernah berturap' - Penduduk

Hanya pacuan empat roda dan motosikal boleh masuk ke Kampung Baru Sungai Melayu, Ulu Tiram, Johor Bahru kerana jalan yang teruk dan tidak selamat. Gambar kecil dari kiri; Muhammad Sam, Shahdon, Mohd Farid dan Ismail.
Hanya pacuan empat roda dan motosikal boleh masuk ke Kampung Baru Sungai Melayu, Ulu Tiram, Johor Bahru kerana jalan yang teruk dan tidak selamat. Gambar kecil dari kiri; Muhammad Sam, Shahdon, Mohd Farid dan Ismail.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Baru Sungai Melayu, Ulu Tiram di sini merayu jalan utama ke penempatan mereka sepanjang lapan kilometer diturap.

Peneroka kampung itu, Muhammad Sam Khamis, 71, berkata, keadaan jalan masuk yang berada di bawah pihak pengurusan Felda Ulu Tebrau itu sangat daif, teruk dan berbahaya terutama semasa musim hujan.

"Jalan sedia ada tidak berturap sejak kampung ini dibuka. Apabila hujan keadaan jalan akan menjadi licin dan terdapat kawasan yang digenangi air selain terdapat kedudukannya curam di tepi parit serta lereng bukit.

"Hanya motosikal dan kereta pacuan empat roda yang masuk ke kampung ini. Jarang ada kereta yang masuk kerana khuatir tersangkut dalam selut atau lopak air terutama apabila hujan," katanya ditemui pemberita pada Selasa.

Kereta milik Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang membawa barang bantuan tersangkut dalam lopak air ketika melalui jalan di Kampung Baru Sungai Melayu, Ulu Tiram, Johor Bahru.
Kereta milik Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang membawa barang bantuan tersangkut dalam lopak air ketika melalui jalan di Kampung Baru Sungai Melayu, Ulu Tiram, Johor Bahru.

Dia mendakwa, masalah tersebut sudah disuarakan kepada pihak terbabit sejak empat tahun lalu tetapi sehingga kini masih tiada tindakan.

Ismail Hashim, 52, risau jika berlaku kecemasan misalnya pada waktu malam ada penduduk yang sakit atau mahu bersalin dan perlu ke hospital.

Bapa kepada tiga anak itu percaya, sekiranya keadaan jalan kampung berkenaan elok dan selamat lebih ramai penduduk akan menetap di situ.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ali Abd Rahman, 49, berkata, disebabkan keadaan jalan yang teruk ramai penduduk menyewa di Felda Ulu Tebrau kerana lebih mudah serta selamat untuk menghantar anak ke Selolah Kebangsaan (SK) Ulu Tebrau berbanding menetap di kampung itu.

"Sebelum ini, ada kes ibu bapa yang terjatuh semasa menghantar anak berulang alik ke SK Ulu Tebrau," ujar bapa kepada lima anak itu.

Mohd Farid Md Yusof, 30, berkata, kereta Proton Saga miliknya rosak akibat melalui jalan tersebut dan terpaksa menjualnya beberapa bulan lalu.

"Saya kini hanya menggunakan motosikal dan tidak menggunakan jalan ini sebaliknya menggunakan jalan dalam kebun sawit untuk ke kedai runcit atau ke jalan besar dengan hanya 10 minit perjalanan dan boleh dilalui motosikal sahaja," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Baru Sungai Melayu, Shahdon Abd Wahab berkata, kampung tersebut dibuka pada 1993 melibatkan 30 peneroka asal dan kini tinggal empat keluarga daripada 16 rumah termasuk mereka yang menyewa di luar.

Menurutnya, usaha sedang dilakukan untuk menaik taraf jalan berkenaan selain mencadangkan satu lagi laluan alternatif untuk ke kampung tersebut di Bukit 75 sedang diusahakan pihaknya.

Katanya, kampung itu juga tidak memiliki bekalan elektrik dan pihak jawatankuasa penduduknya sedang berusaha untuk memohon bekalan elektrik daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).