Warga asing 'berkampung' di Wisma Persekutuan JB

Warga asing menggantung selimut untuk dijadikan sebagai khemah tempat berteduh di pagar Wisma Persekutuan di sini.
Warga asing menggantung selimut untuk dijadikan sebagai khemah tempat berteduh di pagar Wisma Persekutuan di sini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pekarangan kawasan luar Wisma Persekutuan di sini dipenuhi lebih 1,500 warga asing dari pelbagai negara yang berkumpul sejak Isnin lalu bagi mengikuti Program Back For Good (B4G) Jabatan Imigresen Malaysia yang bakal tamat lima hari lagi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata daripada warga asing membabitkan individu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan mempunyai masalah permit kerja yang mahu mengikuti program berkenaan adalah dari Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal.

Pemerhatian dibuat juga mendapati kesemua warga asing terbabit turut memenuhi sepanjang kira-kira 100 meter laluan pagar A wisma berkenaan yang mana ada daripadanya turut mendirikan khemah untuk berteduh.

Terdapat juga daripada mereka yang sanggup berdiri di hadapan pintu masuk wisma selama berjam-jam hanya kerana tidak mahu terlepas giliran untuk menyelesaikan urusannya menerusi program berkenaan.

Md Shahalom
Md Shahalom

Seorang warga Bangladesh, Md Shahalom, 30, berkata, dia mula beratur sejak tiga hari lalu untuk mengikuti program berkenaan selepas bekerja di negara ini selama hampir empat lima tahun bermula 2014 sebagai juru paip.

Katanya, dia memberi alasan tidak menyelesaikan lebih awal urusan berkenaan kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli tiket penerbangan bagi pulang ke kampung.

“Saya dapat tahu dari rakan-rakan boleh balik dengan rekod yang bersih. Hanya perlu membuat bayaran denda (kompaun sahaja). Sebelum ini saya tidak boleh buat kerana tidak mempunyai wang cukup untuk balik.

Artikel Berkaitan:

“Jadi selama beberapa bulan ini saya bekerja lebih sedikit, berusaha mahu dapatkan wang cukup untuk beli tiket balik ke Dhaka (Bangladesh) kerana tiket pulang mahal,” katanya ketika ditemui di pekarangan Wisma Persekutuan di sini hari ini.

Shahalom berkata, dia datang ke negara ini dengan menggunakan visa pelawat kerana pada mulanya telah dijanjikan pekerjaan lebih baik serta lengkap dengan permit yang sah.

Gelagat sebahagian warga asing yang sanggup berdiri untuk menunggu giliran di luar pagar Wisma Persekutuan di sini
Gelagat sebahagian warga asing yang sanggup berdiri untuk menunggu giliran di luar pagar Wisma Persekutuan di sini

Bagaimanapun, perkara itu tidak berlaku mengikut perancangannya apabila ditipu ejen pekerjaan selain telah menghabiskan ribuan ringgit semata-mata untuk bekerja secara sah.

“Saya dijanjikan lain, dan sehingga hari ini tidak mendapat permit sehingga visa saya tamat. Saya tahu bila saya mahu pulang rekod saya akan jadi tidak bersih dan boleh dikenakan hukuman sebab itu saya terus bersembunyi.

“Bila tahu mengenai program ini saya terus kumpul duit, ini peluang saya untuk balik dan boleh kembali ke pangkuan keluarga di sana,” katanya.

Untuk rekod, Program B4G yang dilancarkan sejak 1 Ogos lalu hingga 31 Disember ini bertujuan memberi peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959 untuk pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat tertentu.

Mereka hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing sebelum menyerahkannya kepada pejabat Imigresen dan membayar kompaun RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal.