Subsidi pengangkutan laut Labuan-Sabah, Sarawak diteruskan

No Image Caption
A
A
A

LABUAN - Kerajaan Persekutuan terus memperuntukkan subsidi tahunan sebanyak RM9 juta untuk kos pengangkutan laut bagi pengguna dari Labuan ke tanah besar Sabah dan Sarawak pada tahun depan, susulan kelembapan ekonomi yang dialami pulau itu.

Peruntukan diberikan sejak 2014 itu bagi memberi subsidi 50 peratus tambang kepada pengguna feri dan bot laju dari dan ke pulau itu.

Perbadanan Labuan dalam kenyataan hari ini berkata, subsidi itu bertujuan meringankan beban pengguna (warganegara Malaysia) yang menggunakan pengangkutan laut untuk berulang-alik ke pulau itu.

Laluan bersubsidi itu adalah Labuan-Menumbok-Labuan, Labuan-Kota Kinabalu-Labuan, Labuan-Sipitang-Labuan, Labuan-Limbang-Labuan dan Labuan-Lawas-Labuan.

Kerajaan menghentikan subsidi kepada pengangkut yang membawa barang menerusi feri ke pulau tersebut sejak tahun lalu selepas mengambil kira kegagalan mereka menurunkan harga barang di pulau itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: