'Tidur-tidur ayam, gerun dengar dentuman ombak'

Keadaan angin yang bertiup di Pantai Cahaya Bulan.
Keadaan angin yang bertiup di Pantai Cahaya Bulan.
A
A
A

KOTA BHARU - Keadaan ombak besar dan angin kencang yang melanda pesisir Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini sejak empat hari lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk sehingga ada yang terpaksa tidur-tidur ayam pada waktu malam kerana berwaspada terhadap situasi yang lebih buruk.

Tinjauan Sinar Harian di pantai itu turut mendapati angin bertiup lebih kuat daripada kebiasaan.

Bagi tukang kebun, Wan Jaafar Wan Ismail, 50, berkata, walaupun situasi ketika ini dianggap normal setiap kali Monsun Timur Laut (MTL) melanda, namun penduduk tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak mendekati kawasan pantai.

Begitu juga dengan aktiviti perniagaan di kedai makan di sepanjang pantai tersebut, peniaga tidak akan membuka kedai sekiranya ombak terlalu kuat dan air melintasi benteng.

“Kami yang tinggal di kawasan pantai ini walaupun sudah biasa tetapi musim sebegini, tidur pun sekejap-sekejap terjaga kerana terkejut dan gerun mendengar bunyi kuat dentuman ombak menghempas pantai terutama tengah malam,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Isnin.

Mariam siap meletakkan pakaian ke tempat lebih tinggi bagi menggelak basah jika air masuk ke dalam rumah.
Mariam siap meletakkan pakaian ke tempat lebih tinggi bagi menggelak basah jika air masuk ke dalam rumah.

Seorang lagi penduduk di Pantai Kundur yang berjarak kira-kira empat kilometer dari PCB, Mariam Hassan, 65, berkata, beliau sudah bersiap sedia mengemas barangan termasuk pakaian dan meletakkannya di tempat lebih tinggi.

Warga emas itu memberitahu tidak lena tidur sehingga jam 3 pagi pada Isnin kerana ombak dari pantai yang berada dalam jarak 30 meter dari rumahnya menghempas sejauh 100 meter.

Artikel Berkaitan:

“Ombak beberapa kali melepasi benteng dan masuk hingga ke beranda rumah serta surut hanya pada jam 3 pagi.

“Bagi menghalang air masuk ke dalam rumah, saya dan suami membina benteng dengan menggunakan guni berisi pasir tetapi tidak banyak yang dapat dihasilkan kerana keadaan pasir berat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kota Bharu, Kapten (PA) Muhammad Shafie Rosslee berkata, pihaknya memperketatkan pemantauan melalui pasukan penyelamat pantai di PCB dengan mempertingkatkan sesi rondaan.

Anggota APM mendekati pengunjung dan memberikan nasihat supaya tidak mendekati kawasan pantai.
Anggota APM mendekati pengunjung dan memberikan nasihat supaya tidak mendekati kawasan pantai.

Katanya, terdapat menara kawalan di pantai itu dengan tiga anggota dan seorang pegawai ditempatkan bagi operasi pemantauan untuk memastikan keselamatan orang awam semasa MTL.

“Anggota akan menjalankan rondaan bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan jam lima petang hingga 7 malam berbanding rondaan pada sebelah petang sahaja ketika waktu biasa.

“Pasukan rondaan juga akan mendekati pengunjung terutama pelancong luar bagi menasihatkan mereka supaya berhati-hati dan tidak mendekati gigi air bagi mengelak sebarang tragedi,” ujar beliau.