UNICEF guna pendekatan fotografi dalam isu hak kanak-kanak

Pertandingan gambar ‘Picture My Rights’ terbuka kepada semua golongan muda dalam memupuk pengetahuan hak kanak-kanak.

A
A
A

No Image Caption

SHAH ALAM - UNICEF Malaysia melancarkan kempen Picture My Rights #aShotatLife bagi meningkatkan kesedaran mengenai hak kanak-kanak dan cabaran yang memberi kesan kepada mereka.

Peraduan ini merupakan platform buat golongan muda berkongsi kreativiti, keberanian dan keyakinan mereka dalam membantu mengubah dunia.

Ketua Komunikasi dan Advokasi Awam UNICEF Malaysia, Marc Vegara, berkata, dengan adanya kemajuan teknologi, golongan muda mempunyai peralatan serta sokongan dalam menyuarakan isu-isu yang dipercayai.

“Kami minta untuk mereka mengembangkan kreativiti, supaya mereka boleh menunjukkan gambaran yang menarik dan menceritakan bagaimana golongan muda melihat hak-hak mereka di Malaysia hari ini. Kami ingin mereka mengambil gambar demi kehidupan.

“Perkara 13 dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, golongan mereka berhak mempunyai kebebasan bersuara melalui apa-apa yang dipilih oleh kanak-kanak itu.

“Picture My Rights mengajak golongan muda untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai hak kanak-kanak dan isu-isu yang penting kepada mereka melalui saluran media dalam bentuk gambar/foto,”katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, golongan muda yang berumur 13 hingga 24 tahun dan menetap di Malaysia dijemput untuk menghantar gambar yang menunjukkan salah satu daripada lima tema berbeza iaitu:

1. Peluang yang adil & Martabat

Kanak-kanak mempunyai hak untuk dilayan dengan hormat tanpa mengira jantina, bangsa, agama atau kerakyatan, mahupun jika mereka kekurangan anggota badan atau mental. Mereka berhak menjalani kehidupan dengan bermaruah.

No Image Caption

2. Pembangunan & Daya tahan

Tempat perlindungan, makanan berkhasiat, air yang bersih, rawatan perubatan dan penjagaan kesihatan adalah keperluan asas kepada setiap kanak-kanak untuk teruskan kehidupan dan berkembang maju. Mereka mempunyai hak untuk membesar dalam keadaan bersih, selamat dan sihat.

3. Pendidikan

Kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti - bukan hanya merujuk di sekolah sahaja. Pendidikan kanak-kanak perlu merangkumi pembentukan personaliti dan kebolehan serta membantu mereka dalam menghormati sesama insan, budaya dan persekitaran alam.

4. Perlindungan daripada keganasan

Kanak-kanak tidak sepatutnya mengalami penderaan, buli, keganasan seksual, eksploitasi atau pengabaian - sama ada di rumah, di sekolah, di institusi ataupun di dalam talian. Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk dilindungi daripada kecederaan atau dilayan dengan teruk dalam apa jua cara.

5. Penyertaan

Kanak-kanak berhak untuk menyuarakan pendapat secara terbuka, terutama isu yang memberi kesan kepada mereka. Mereka berhak untuk berkongsikan pendapat melalui saluran media seperti fotografi, lukisan, penulisan atau apa-apa cara sekalipun, melainkan ia mencederakan orang lain.

No Image Caption

Vergara berkata, penyertaan kanak-kanak dalam kempen ini membuka peluang untuk mereka bersuara mengenai isu dan keputusan yang mempengaruhi kehidupan mereka, mempelajari skil baru sambil berseronok, serta mendekatkan jalinan hubungan kepada komuniti.

“Melalui ‘Picture My Rights’, kami ingin memupuk golongan muda Malaysia untuk berkongsikan idea mereka secara terbuka dan tunjukkan kami kehidupan anda melalui lensa kamera,”katanya.

Kempen ini berlangsung selama dua bulan bermula dari 17 Julai hingga 20 September 2023.

Anda perlu menyiarkan gambar yang terbaik di platform Instagram sendiri beserta kapsyen yang mengandungi hastag #PictureMyRights dan #AShotatLife. Buat mereka yang tidak mempunyai akaun Instagram atau akaun Instagram dalam tetapan privasi, sila hantar gambar melalui e-mel mediakl@unicef.org.

Gambar dan kapsyen terbaik berpeluang untuk memenangi empat iPhone 14s, dengan dua pemenang diberikan kepada setiap kategori umur (13-17 tahun dan 18-24 tahun).

Penyertaan yang menang juga akan dipaparkan dalam pameran maya khas Hari Kanak-Kanak Sedunia pada November 2023.

Ini merupakan peraduan gambar kanak-kanak ‘Picture My Rights’ yang ketiga. Yang pertama adalah pada tahun 2014, manakala yang kedua pada tahun 2017.

Dapatkan maklumat lanjut tentang peraduan dan hak kanak-kanak di laman web rasmi https://children4change.unicef.my/picture-my-rights