Peruntuk RM12.5 juta tambah baik akses, fasiliti SK Ulu Ansuan

Kuarters guru SK Ulu Ansuan yang telah siap diselenggara.
Kuarters guru SK Ulu Ansuan yang telah siap diselenggara.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan projek penambahbaikan akses dan fasiliti pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, Telupid, Sabah susulan tular guru besar sekolah berkenaan tidak mempunyai kediaman.

Menurut KPM, kerja pembinaan blok akademik dan pentadbiran serta kemudahan lain termasuk pembelian perabot yang sedang rancak dilaksanakan itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM12.5 juta.

“KPM cakna mengenai video tular seorang guru besar sekolah itu yang tidak mempunyai kediaman dan terpaksa tinggal di sekolah.

“Perkara ini dipandang serius kerana ia melibatkan kesejahteraan guru, murid dan seluruh warga sekolah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Ansuan, George Odol mendedahkan tinggal di sebuah stor sekolah tersebut sejak dipindahkan ke kawasan pedalaman itu tiga tahun lepas.

George, yang akan bersara wajib pada 27 November ini berkata, beliau tinggal di stor berkeluasan 2.74 meter lebar dan 4.87 meter panjang, disebabkan sekolah itu dibina tanpa ada kemudahan rumah guru.

Tambah KPM, pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu turut meluluskan peruntukan untuk sekolah berkenaan bagi membina empat unit kuarters baharu.

“Bagi penyelesaian jangka pendek kediaman guru di sekolah tersebut pula, KPM telah siap melaksanakan projek selenggara kuarters dengan peruntukan RM200,000,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

KPM juga bertekad untuk menambah baik akses dan fasiliti di semua sekolah di seluruh negara yang memerlukan perhatian bagi memastikan kesejahteraan, keselamatan dan kebajikan guru, murid serta seluruh warga sekolah terpelihara.