Amanah cadang belia terajui JKOM

Azhar
Azhar
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mencadangkan kerajaan supaya membuka ruang kepada calon daripada kalangan belia untuk menerajui Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) selepas ini.

Pengarah Komunikasinya, Azhar Rahman berkata, jawatan berkenaan memerlukan individu yang berkeupayaan untuk menggerakkan jentera di peringkat komuniti agar program dan gerak kerja di bawah pimpinannya akan memberi impak.

“Seseorang yang bakal mentadbir jabatan itu tidak perlu daripada kalangan yang popular atau pempengaruh walaupun ia mungkin memberi kelebihan.

“Apa lebih penting adalah seorang yang ada iltizam dan mempunyai daya usaha tinggi dalam meletakkan JKOM sebagai ejen penerangan kerajaan berkesan di peringkat komuniti dengan idea-idea baharu yang lebih segar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Selain itu, tambah Azhar, dengan perubahan dalam kaedah dan pendekatan komunikasi kini, seorang ketua yang kreatif serta energetik adalah kriteria penting perlu diambil kira bagi memenuhi keperluan jawatan berkenaan.

Jelasnya, memandangkan perubahan besar dalam budaya komunikasi berlaku hari ini, calon yang mampu menangkap kehendak masyarakat dilihat ada pada orang muda.

“Ini boleh memberi satu nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan untuk mewajahkan negara lebih segar dan mesra kepada orang muda.

“Namun calon yang dikemukakan perlu mampu menggalas tanggungjawab dengan sebaiknya,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: