'Terpaksa minum air masin untuk hilangkan dahaga' - Nurul Ain

Nurul Ain menceritakan rakyat Gaza terpaksa minum dan mandi menggunakan air masin akibat sekatan bekalan air bersih oleh rejim Zionis.
Nurul Ain menceritakan rakyat Gaza terpaksa minum dan mandi menggunakan air masin akibat sekatan bekalan air bersih oleh rejim Zionis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekatan air bersih yang dilakukan oleh rejim Zionis telah mengakibatkan rakyat Palestin terpaksa menggunakan sumber air tapisan yang diragui kebersihan untuk kegunaan harian.

Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37, yang sebelum ini terkandas di Gaza.

Nurul Ain berkata, sehingga ke hari ini rakyat Palestin berdepan dengan masalah bekalan air bersih.

Menurutnya, selama lebih sebulan berada di Gaza dia hanya sempat menikmati bekalan air bersih selama beberapa hari.

“Saya tiba di Palestin pada 1 Oktober dan sebaik sahaja konflik perang tercetus seminggu kemudian (7 Oktober), rejim Zionis telah menyekat secara total bekalan air dan elektrik.

“Kami terpaksa minum air payau (agak masin) untuk hilangkan rasa dahaga dan turut menggunakan sumber air sama untuk mandi.

“Saya sendiri tidak yakin dengan air itu, namun apakan daya kami terpaksa menggunakan sumber air yang diragui tapisannya untuk kegunaan harian," katanya kepada Sinar Harian selepas rakaman program Sinar Live bertajuk ‘kisah Gaza yang belum diceritakan’ pada Ahad.

Sebelum ini, Nurul Ain memaklumkan dia pergi ke Gaza untuk bertemu keluarga mentua buat kali pertama selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohamad A Shaat, 33.

Artikel Berkaitan:

Pada 14 November lalu, Nurul Ain dan suami telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah terkandas lebih 42 hari di wilayah berkenaan.

Dalam pada itu, Nurul Ain yang bekerja sebagai pembantu doktor gigi di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkata, walaupun sudah lima hari pulang dari wilayah konflik itu, dia tetap dibayangi dengan ketakutan perang.

“Saya tahu kini saya selamat berada di Malaysia tetapi sukar untuk saya lupakan detik-detik hitam yang berlaku bahkan trauma kalau terdengar bunyi bising.

“Kalau dengar bunyi mercun, saya takut kerana ia seolah-olah letupan bom. Jujur, sehingga ke hari ini saya masih lagi trauma dan terbayang bangunan runtuh di depan mata,” ujarnya.

Menyedari ketakutan yang dihadapi itu, Nurul Ain memaklumkan bahawa dia kini sedang menunggu pakar kaunseling daripada Wisma Putra untuk mengatasi segala trauma.